KUALA LUMPUR – Kadar inflasi pada September 2024 meningkat lebih rendah kepada 1.8 peratus dengan mata indeks mencatatkan 133.2 berbanding 130.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Peningkatan inflasi pada September 2024 telah didorong oleh kenaikan perlahan bagi kumpulan utama penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (3.1%).

Ini diikuti oleh pengangkutan (1.1%); minuman alkohol & tembakau (0.8%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.6%) serta maklumat & kKomunikasi (0.4%).

Manakala, pakaian & kasut kekal berada dalam jajaran negatif iaitu negatif 0.3 peratus.

Inflasi rekreasi, sukan & kebudayaan (2.1%) meningkat lebih tinggi pada September 2024 (Ogos 2024: 2.0%)disebabkan oleh peningkatan inflasi subkumpulan utama perkhidmatan rekreasi pada 4.0 peratus (Ogos 2024: 2.8%).

Sementara itu, restoran & perkhidmatan penginapan (3.2%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (3.1%); makanan & minuman (1.6%); kesihatan (1.6%); pendidikan (1.5%) dan insurans & Perkhidmatan Kewangan (0.5%) meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.

Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan
wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.6 peratus pada September 2024,
kadar yang sama direkodkan pada Ogos 2024.

Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.4 peratus (Ogos 2024: 0.3%) terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan Daging yang merekodkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus
(Ogos 2024: -0.7%).

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada September 2024 kekal tidak berubah berbanding Ogos 2024.

Walaupun kumpulan utama makanan & minuman; minuman alkohol & tembakau; penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan dan restoran & perkhidmatan penginapan masing-masing mencatatkan peningkatan 0.1 peratus pada September 2024, namun ia diimbangi dengan penurunan kumpulanpengangkutan (-0.2%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (-0.1%); kesihatan (-0.1%) dan maklumat & komunikasi (-0.1%).

Bagi inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah
paras inflasi nasional 1.8 peratus.

Walau bagaimanapun, inflasi bagi empat negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.1%), Pahang (2.7%), Sarawak (2.3%) dan Selangor (2.3%). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here