KUALA LUMPUR – Asia Tenggara akan menjadi pusat ekonomi keempat terbesar dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) tahunan 4.0 peratus sehingga tahun 2040.
Lantaran itu, Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan perubahan global untuk meningkatkan daya saing negara, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib,
“Kami berpendapat Malaysia perlu menjadi kuasa penggunaan, iaitu ekonomi yang didukung rakyat tempatan dan menjadi penentu paling penting bagi trajektori jangka panjang dan kadar pertumbuhan Malaysia.
“Oleh itu, kami melihat Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) sebagai satu pendekatan yang lebih ringkas, menyeluruh dan berasaskan ‘kanvas kosong’ untuk menjana perkembangan ekonomi yang positif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Sesi Lib Urus Rancangan Malaysia ke-13 di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini.
Hanifah berkata, Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan, SDG akan terus menjadi teras penyediaan RMK13.
“Selaras dengan seruan perdana menteri, aspek seperti kemampanan, kesejahteraan, persekitaran yang terjamin dan perubahan iklim akan terus diberi perhatian dalam proses merangka rancangan yang selaras dengan Ekonomi Madani.
“Kita perlu mempunyai pemikiran kreatif, inovatif dan di luar kotak untuk menghasilkan idea berani dan radikal, selain membangunkan konsep yang baharu dan penyelesaian unik untuk memenuhi ekosistem sosioekonomi negara.
“Hal ini penting untuk memenuhi keperluan manusia dan melestarikan alam sekitar bagi memastikan masa depan yang mapan dan makmur untuk generasi akan datang,” tambahnya. – MalaysiaGazette