KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal menambah inisiatif bagi memudahkan pengguna My50 menambah nilai pas mereka melalui aplikasi e-Wallet.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, MoT akan mengintegrasikan pas MY50 dan e-dompet Touch’ n Go (TNG), agar pengguna tidak perlu bersusah payah untuk pergi ke kaunter Rapid KL atau Prasarana.
“Bagi mengurangkan kesesakan di kaunter dan memudahkan pengguna, orang ramai akan dapat memperbaharui pas My50 mereka melalui integrasi dengan e-dompet.
“Inisiatif ini dijangka dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang, dan kami berharap menjelang akhir tahun ini, pengguna dapat menikmati kemudahan tersebut,” beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri majlis sesi taklimat di Kaunter Tiket Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan pelaksanaan bantuan subsidi tiket penerbangan untuk musim perayaan, bagaimanapun pelaksanaannya masih belum diketahui.
“Saya akan membuat pengumuman untuk musim perayaan, memang kita (MOT) dapat peruntukan untuk musim perayaan. – MalaysiaGazette