Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bercakap kepada media mengenai Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di Nu Sentral, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Penjual peranti rokok elektronik atau peranti vape diingatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia termasuk perakuan dan penandaan MS Sirim produk peranti elektronik yang menepati standard daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

“Kita ada menerima laporan dan kebimbangan pihak tertentu dan apa yang saya ingin nyatakan di pihak KPD, bidang kuasa kita adalah berkait Akta Perihal Dagangan 2011.

“Ada satu perintah khusus berkaitan dengan peruntukan dan penandaan peranti rokok elektronik yang telah dikeluarkan pada 2022 dan untuk menguatkuasakan perintah tersebut kita akan bekerjasama dengan SIRIM, QAS Sdn Bhd.

“Anak syarikat kepada SIRIM (QAS) ini telah dinyatakan secara tersurat dalam perintah tersebut sebagai badan pihak yang berkuasa yang boleh memberi perakuan kepada produk peranti rokok elektronik ini,” katanya dalam sidang pengumuman SHMMP Deepavali 2024, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan pihak yang menjual peranti vape yang menyerupai perkakas alat tulis untuk menarik remaja membeli bakal berdepan tindakan tegas.

Katanya, individu yang berbuat demikian akan disiasat di bawah Akta Penerangan Perdagangan 2011, berikutan Perintah Penerangan Perdagangan (Sijil dan Pelabelan Rokok Elektronik) 2022.

“Mana-mana individu yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan peranti atau komponen rokok elektronik mesti memohon kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan peranti tersebut.

“Kita akan bekerjasama dengan Sirim QAS International, yang telah diberi kuasa untuk mengesahkan peranti vape dan berharap semua pihak akan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya.

Sebelum ini, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa KPDN melakukan serbuan dan rampasan ke atas peniaga yang memiliki serta menjual peranti vape dan rokok elektronik menyerupai perkakas alat tulis dengan menggunakan label mengelirukan.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, tindakan peniaga dan penjual dalam talian yang memasarkan barangan, termasuk pelekat menyerupai perkakas alat tulis seperti highlighter, gam dan pena penanda adalah tidak bertanggungjawab serta melanggar undang-undang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here