Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Program Open And Distance Learning (ODL) Pusat Pendidikan Profesional Dan Lanjutan (PACE)

KUALA LUMPUR – Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memulakan Program Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh atau Open and Distance Learning (ODL) yang bersifat fleksibel bermula esok.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, ODL di bawah pengurusan Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) bermula dengan dua program pengajian iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.

Jelasnya, ODL merupakan satu kaedah atau mod pembelajaran terkini selari dengan kemajuan teknologi dan infrastruktur teknologi maklumat (IT) yang menawarkan cara baharu untuk menggabungkan teknik pembelajaran dan pengajaran yang inovatif dengan interaksi antara pensyarah dan pelajar.

“Program ODL menawarkan penyampaian pembelajaran sepenuhnya secara dalam talian di mana elemen fleksibiliti dapat dimaksimumkan dan sesi pengajaran dan pembelajaran boleh diakses di mana-mana dan pada bila-bila masa hanya dengan adanya capaian Internet.

“Oleh itu, saya mengharapkan komitmen dan sokongan padu semua pihak terutamanya PACE, UUMIT, Perpustakaan Sultanah Bahiyah serta UUM LEADS untuk memainkan peranan masing-masing bagi memastikan segala tatacara dan peraturan penawaran program ODL berjalan lancar,” ucapnya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Program Open And Distance Learning (ODL) Pusat Pendidikan Profesional Dan Lanjutan (PACE) di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, pagi tadi.

Menurut beliau, kejayaan Program ODL ini juga bergantung kepada Pusat Pengajian Kerajaan dan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan yang bertanggungjawab penuh menyediakan pensyarah serta segala bahan pengajaran dan pembelajaran bagi program ini mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Dalam memastikan kejayaan program ODL ini, pelajar dan staf memerlukan kemahiran digital yang tinggi.

““Struktur sistem sokongan ODL dalam kalangan staf UUM adalah menjadi tulang belakang yang perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar untuk memastikan sebarang isu berkaitan pengurusan program ODL termasuk aspek teknikal dapat ditangani dengan baik dan efisyen,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah UUM Holdings, Dato’ Shushilil Azam Shuib berkata, setelah bertahun-tahun menunggu akhirnya ODL berjaya direalisasikan dengan pelbagai cabaran yang dilalui bagi memastikan program ini memenuhi keperluan MQA dan melepasi proses audit dalaman dan luaran.

ODL ini seiring hasrat Kementerian Pengajian Tinggi yang sedang berusaha membangunkan satu ekosistem pendidikan yang pelbagai, bersifat mudah dan berupaya menawarkan keterujaan dan tarikan baharu dalam kalangan pelajar.

“Pandemik Covid-19 mencetuskan perubahan yang drastik terhadap Institusi Pengajian Tinggi khususnya awam di mana IPTA mula mengorak langkah ke arah usaha penawaran program pengajaran dan pembelajaran secara atas talian.

“Saya yakin telah tiba masanya walaupun bermula dengan dua program, kita harap ODL akan berkembang sehingga ke luar negara seperti Indonesia yang mendapat permintaan tinggi,” katanya ketika membaca teks ucapan Pengerusi UUM Holdings, Dato’ Mohd Zuhri Abdullah.

Tambahnya, program ODL ini membolehkan mereka yang sedang bekerja atau terlepas peluang mengikuti pengajian secara sepenuh masa, boleh memohon untuk mengikuti pengajian separuh masa ODL tanpa mengabaikan kerjaya semasa. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here