KUALA LUMPUR – UMNO yakin bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak diperdaya oleh pihak-pihak tertentu dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya juga percaya permohonan maaf terbuka yang dibuat bekas Perdana Menteri itu adalah ikhlas dan tulus.
“UMNO yakin bahawa kenyataan tersebut datangnya dari hati nurani yang suci dan tulus, menzahirkan perasaan ikhlas Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.
“UMNO menegaskan kenyataan itu menggariskan bahawa beliau telah diperdayakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba untuk mengambil kesempatan dan meraih keuntungan atas tipu daya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan UMNO itu dibuat setelah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.
Asyraf juga berkata permohonan maaf secara terbuka itu menunjukkan keperibadian murni Najib terhadap rakyat Malaysia.
“UMNO dan seluruh ahlinya memanjatkan doa kehadrat Allah agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan dan dalang utama yang sebenar di dalam kes SRC dan IMDB dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya lagi.
Semalam, anak kepada Najib, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Permohonan maaf Najib itu datang enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.
Menurut kenyataan itu, Najib memberitahu beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu. – MalaysiaGazette