Akmal Saleh.-Foto MUHD NA’IM, 26 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Kenakan hukuman berat kepada individu yang mengibarkan bendera China.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, permohonan maaf tidak lagi memadai selepas kesalahan tersebut dilakukan berulang kali.

Tegas beliau, insiden terkini pengibaran bendera China di Menara Condong Teluk Intan, Perak bukan kali pertama berlaku selepas insiden sama berlaku di sebuah sekolah persendirian Cina di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Apa kejadahnya nak buat perarakan di tempat awam? Sudahlah tidak ada permit, angkat lagi bendera China, tak ada langsung bendera Malaysia di situ.

“Cukup-cukuplah hari tu sudah berlaku dalam sekolah, hari ini nak bawa bendera China berarak dekat luar pulak dan pengerusi persatuan kebudayaan Guan Dong iaitu orang yang menganjur ini minta maaf. Cukuplah, cukuplah nak minta maaf,

“Tolonglah jangan buat, dah buat minta maaf, tolonglah dah muak, dah bosan, kita. Asyik kita je kena bersabar,” kata dalam kenyataan.

Dr. Muhamad Akmal berkata, dia telah mengarahkan seluruh pergerakan Pemuda UMNO Perak untuk membuat laporan polis ke atas penganjur.

Pemuda UMNO juga menggesa pihak polis untuk membuat siasatan dan mendakwa dengan hukuman berat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan, di sini, malam tadi.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia.

Beliau berkata, tindakan mengibarkan bendera negara asing tidak sesekali dirancang dalam tentatif oleh pihak pengelola.

Terdahulu, media melaporkan Pas Perak menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan di Menara Condong Teluk Intan.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mendakwa, perkara itu menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Beberapa video tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu dilihat mengibarkan bendera China di kawasan berhampiran Dataran Menara Condong Teluk Intan pada waktu malam sambil bersorak.

Sebelum ini negara digemparkan dengan tindakan mengibarkan bendera China dalam sebuah sekolah di Pulau Pinang yang juga didakwa dilakukan oleh warga China.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here