Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris

IPOH – Polis mengesahkan telah memanggil penganjur perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mempamerkan bendera negara asing bagi merakam keterangan, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, penganjur terbabit turut diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan berhubung perarakan tersebut.

Menurutnya, perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam tadi dan disertai kira-kira 400 penonton.

“Kita menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada 12.39 tengah malam tadi.

“Justeru, polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan.

“Susulan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193) kerana mempamerkan mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam,“ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Azizi turut menasihati mana-mana pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan supaya menghantar notis kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Persatuan Kebudayaan Guan Gong memohon maaf atas insiden pengibaran bendera negara China di kawasan berhampiran Dataran Menara Condong Teluk Intan sebagaimana dalam video tular.

Pengerusinya, Soon Boon Hua berkata, tindakan mengibarkan bendera berkenaan tidak dirancang serta tiada dalam atur cara yang disediakan pihaknya selaku penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Malaysia. – MG Perak

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here