Polis terpaksa lepaskan dua tembakan selepas suspek curi kabel TNB cuba rempuh kenderaan pasukan serta orang awam di Jalan Kelawai, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Sekurang-kurangnya dua das tembakan dilepaskan pihak polis untuk menghentikan kenderaan dinaiki suspek kes curi kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas lelaki itu bertindak agresif merempuh kenderaan anggota serta orang awam dalam kejadian di Jalan Kelawai di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, tembakan dilepaskan anggota ke arah tayar bahagian hadapan kenderaan suspek yang sedang bergerak walaupun diarahkan berhenti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, ketika kejadian suspek berusia 32 tahun itu dipercaya sedang merancang untuk mencuri kabel di Bilik Pencawang TNB berhampiran Plaza Gurney di sini.

Swee Sake.

“Sebaik diminta berhenti untuk pemeriksaan, suspek memandu secara berbahaya termasuk  merempuh beberapa buah kenderaan lain dalam usaha melarikan diri.

“Bagaimanapun, selepas tembakan dilepaskan di bahagian tayar hadapan kereta jenis Honda Civic suspek terhenti kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Suspek kemudian keluar dari kereta tersebut dan melarikan diri kira-kira 500 meter sebelum berjaya diberkas polis di Solok Midlands di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Polis melepaskan tembakan di bahagian tayar hadapan kereta yang dinaiki suspek.

Tambah Swee Sake, suspek juga dipercayai terlibat dalam satu kes curi kabel TNB yang dilaporkan berlaku pada Rabu lalu.

“Anggota polis berada di lokasi untuk menjalankan siasatan sebelum sedar kehadiran suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan curi kabel dalam kereta suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here