Gambar hiasan

IPOH – Polis Perak akan memanggil 20 agensi kerajaan dan swasta berkaitan pada Selasa depan untuk bermesyuarat berhubung insiden bunyi letupan dan gegaran yang berlaku Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mesyuarat yang akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bertujuan untuk mencari punca dan solusi berkaitan kejadian tersebut.

“Saya bertanggungjawab untuk menentukan bahawa semua agensi berkaitan memberi laporan kepada jawatankuasa yang akan dipanggil untuk menjelaskan apakah punca dan tindakan susulan yang perlu diambil.

“Tindakan susulan itu adalah bagi memberi jaminan kepada rakyat Perak supaya tidak perlu khuatir ataupun kita akan ambil langkah in advance selepas ini supaya sebarang punca gegaran dapat dikesan.

“Jadi, letupan itu masih misteri kerana tidak ada mana-mana agensi yang boleh memberi pengesahan untuk kita membuat rumusan terakhir.

“Oleh itu, semua agensi terbabit dipanggil untuk mencapai kata sepakat berhubung insiden berkenaan,” katanya kepada media sewaktu Festival Kesenian Islam Nasyid Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Isnin lalu, media melaporkan orang ramai gempar selepas mendengar bunyi letupan dan merasai gegaran selama beberapa saat di sekitar bandar raya ini.

Insiden itu turut menggusarkan dalam kalangan warga net yang memuat naik status di media sosial mereka. – MG Perak

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here