Fadhlina (sidek) meninjau reruai pada Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vikasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengeluarkan arahan penempatan sementara kepada Cikgu Din atau nama sebenarnya Izzuddin Izhar agar dapat berada di sisi isterinya yang disahkan menghidap kanser tahap empat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat hasil kerjasama KPM dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan.

“Pertama sekali kita rakamkan ucapan simpati pada keadaan yang berlaku pada Cikgu Din.. InsyaAllah kita akan bagi ruang untuk dia bersama dengan isterinya melalui arahan sementara penempatan ini.

Fadhlina Sidek.

“Cikgu Din akan ditempatkan di sekolah berhampiran dengan isterinya bagi membolehkan beliau melaksanakan tugas sambil berada di sisi isteri dalam tempoh yang memerlukan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vikasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di sini, hari ini.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial, Harima Abd Rahman mendedahkan Cikgu Din mengalami cabaran dalam hidupnya selepas permintaannya untuk berpindah tidak diluluskan KPM atas atas dasar tempoh perkhidmatannya yang belum mencecah tiga tahun.

Permohonan itu dibuat kerana cikgu berkenaan mahu berada di samping isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menghidap kanser dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan.

Difahamkan beliau ketika ini mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak berulang-alik setiap dua minggu untuk pulang ke Kelantan bagi memberi sokongan kepada isterinya.

Mengulas dakwaan adakah KPM hanya mengambil tindakan selepas sesuatu isu tular di media sosial, Fadhlina menafikan dakwaan tersebut sebaliknya, menegaskan pihaknya peka perkara yang berbangkit.

“Tak betul, saya ingat proses perbincangan telah dibuat dan juga bagaimana kita menawarkan alternatif-alternatif kepada Cikgu Din telah berlangsung sebelum itu lagi.

“Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih kepada semua kerana perhatian dan kita lihat begitu ramai masyarakat yang empati kepada keadaan Cikgu Din.. Jadi saya ucapkan terima kasih dan sama-sama kita doakan kesembuhan pada isteri beliau.

“InsyaAllah kita akan ambil perhatian penuh kepada semua berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang ada,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here