Peserta bergambar bersama Nik Nazmi di Green Village Space, Stadium Merdeka, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 15 orang pelajar dari Sekolah Menengah Setiabudi terpilih untuk mewakili Malaysia dalam Actions For Earth Award & Global Youth Summit 2024.

Acara berkenan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 21 hingga 25 Oktober lepas.

Peserta memfokuskan perhatian kepada isu-isu penting seperti biodiversiti dan perubahan iklim, yang merupakan cabaran global yang mendesak.

Semua delegasi, termasuk dari Malaysia, Kemboja, Indonesia dan Singapura, bekerjasama erat untuk berkongsi idea, mencari solusi serta mencipta inovasi bagi mengatasi masalah tersebut.

Selain itu, mereka juga melaksanakan aktiviti pembersihan kawasan paya bakau di Mangrove Point, Banting serta melawat Kampung Orang Asli di Serendah, Selangor.

Sekolah Menengah Setiabudi menghantar tiga pasukan, masing-masing terdiri daripada lima pelajar.

Sekolah berkenaan yang sedang bergerak ke arah konsep sekolah hijau telah menghantar tiga projek EcoSejahtera: Projek Baja Kompos daripada sisa kantin, Projek Cecair Eko Enzim daripada sisa kantin, dan Projek Kitar Semula Plastik dari kantin sekolah menjadi alas cawan.

Kesemua projek tersebut menggunakan 100 peratus bahan buangan dari kawasan kantin.

Mereka dibimbing guru, Nurul Hidayah Abdul Kudus, seorang guru pengiring yang berpengalaman dalam projek kelestarian sekolah.

Nurul Hidayah juga mewakili Malaysia sebagai panel dalam forum perbincangan mengenai kepentingan pendidikan kelestarian di sekolah melalui projek-projek yang mengurangkan pengumpulan sisa dan jejak karbon.

Dalam pada itu, pasukan Sekolah Menengah Setiabudi turut mempamerkan produk EcoSejahtera mereka di Green Village Space, Stadium Merdeka pada 24 Oktober lau.

Produk mereka diperkenalkan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Azmi Nik Ahmad.

Di Green Village Space, seramai 150 peserta telah mengangkat ikrar mengenai perubahan iklim di hadapan menteri.

Keputusan untuk Actions For Earth Award diumumkan oleh Nik Nazmi.

Semua pasukan Setiabudi berjaya menjadi finalis dan pasukan Baja Kompos mendapat tempat ketiga, membawa pulang sijil, wang tunai dalam dolar Singapura dan trofi.

Seluruh warga Sekolah Menengah Setiabudi berbangga dengan pencapaian cemerlang mereka dalam pertandingan berkenaan, sekaligus memperkenalkan produk EcoSejahtera sebagai produk lestari sekolah di Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Semangat dan usaha mereka dalam menangani isu-isu global patut dicontohi dan dihargai oleh pelajar di sekolah lain agar lebih ramai pemimpin muda yang prihatin dan tegas dalam memastikan kelestarian alam terjaga serta mengurangkan jejak karbon secara global dapat dilahirkan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here