Kibaran bendera China di Teluk Intan yang tular di media sosial.

JOHOR BAHRU – Pas perlu muhasabah diri atau bertaubat sebelum menuding jari menyalahkan kerajaan dalam isu bendera negara China dikibarkan di Teluk Intan, Perak, Khamis lalu.

Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Pas terlebih dahulu perlu melihat perkara yang mereka sudah buat terutama di Kelantan.

Jelasnya, tindakan Pas mendakwa bendera China yang dikibarkan itu sebagai tanda kerajaan membiarkan kedaulatan negara dicemari kuasa asing adalah dakwaan yang dangkal dan bodoh.

“Macam Pesuruhjaya Pas Perak, Razman yang juga buat perhimpunan haram dua tiga hari lepas kononnya nak kerajaan bertanggungjawab dan nyatakan pendirian kepada rakyat.

“Dia bergegar-gegar berucap sampai membangkitkan isu-isu sensitif kaum dan agama semata-mata untuk laba politik. Apa pula cerita tanah di Gua Musang?

“Kalau kita nak ikut logik Pas yang hari-hari bising soal kedaulatan, saya nak tanya pasal ratusan ekar tanah di Gua Musang yang diserahkan kepada syarikat China untuk projek Musang King.

“Kelantan di bawah kerajaan Pas sendiri yang ‘serah’ tanah tu. Jadi tidakkah Pas mencemarkan kedaulatan Kelantan dengan buat projek bersama syarikat dari China.

“Atau Pas ada fatwa baharu; kalau bab masuk projek dan duit untuk mereka, syarikat China terus jadi halal,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu seramai 17 orang warga China yang terlibat dalam sambutan Guan Gong Sedunia, Stesen Malaysia dan mengibarkan bendera negara itu ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan, sudah Khamis lalu telah diambil keterangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata, semua mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita telah dipanggil untuk merakamkan keterangan bagi membantu siasatan.

Jelas beliau, pihaknya telah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya (TPR) petang Jumaat dan menunggu kebenaran TPR untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Abdul Halim secara sinis bertanya projek KB Sentral di Kelantan diserahkan kepada syarikat dari negara mana selepas lebih 10 tahun tertangguh.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau, dimaklumkan projek mega tersebut juga diserahkan kepada sebuah syarikat dari China.

“Tak rasa pelik ke? Pemimpin Pas ni lantang melalak bila ada bendera China dikibar dalam satu majlis di Teluk Intan tapi buat-buat lupa berapa banyak tanah dan projek di Kelantan yang Pas dah serahkan pada China.

“Bagi saya, Pas patut tengok ekor sendiri yang penuh dengan taik sebelum sibuk berkokok tentang bendera. Setiap kali ada isu berkaitan China, Pas yang dulu manis mulut bila berurusan dengan syarikat dari China, kini bagaikan harimau lapar melalak soal kedaulatan negara,” katanya.

Beliau tidak hairan Pas bertindak demikian kerana pandai bermain sentimen dan isu bendera China itu dijadikan alasan untuk bersuara kononnya untuk kepentingan negara.

“Tapi bab serah tanah Kelantan kepada syarikat China, pemimpin Pas sorok bawah kopiah mereka.

“Jadi, sebelum melalak lagi, mungkin baik juga kalau Pas ambil masa sedikit untuk muhasabah diri atau bertaubat untuk tengok balik apa yang mereka sendiri dah buat. Jangan sampai ayam jantan yang berkokok ni tersembam dalam taik sendiri,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here