Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pelaksanaan sekolah politik seperti dimaklumkan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam akan diteliti terlebih dahulu sebelum direalisasikan.

Selaku Ketua Biro Latihan dan Pengkaderan UMNO Malaysia, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dalam masa terdekat.

“Sekolah politik ini bukan satu perkara yang boleh diambil mudah, kita nak (perlu) tengok silibus, modulnya macam mana dan kumpulan sasar itu siapa.

“Jadi, saya akan mengadakan perbincangan lanjut dan dalam terdekat, saya akan panggil dan kita akan melihat perkara ini perlu banyak perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2024 peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Ketika merasmikan Konvensyen BN Pahang di Temerloh semalam, Ahmad Zahid memaklumkan BN akan menubuhkan sekolah politik di bawah Majlis Latihan dan Penkaderan Umno bagi melatih pemimpin pelapis yang berpotensi diketengahkan sebagai bakal calon dalam pilihan raya umum kelak.

Katanya, melalui sekolah politik itu, mereka yang dikenal pasti dan terpilih akan diberi latihan secara teori dan amali kepimpinan.

Katanya, penubuhan sekolah politik BN telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN dua bulan lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here