SEPANG – DAP menyifatkan permohonan maaf terbuka Datuk Seri Najib Razak berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membawa apa-apa makna.
Sebaliknya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, mahkamah sebelum ini telah membuktikan dan menjatuhkan hukuman bersalah kepada bekas Perdana Menteri tersebut.
“Ini bukan soal terima apa-apa permohonan maaf. Dengannya (permohonan maaf) atau tidak jenayah tetap jenayah. Dia telah pun disabitkan, dan dibuktikan oleh mahkamah. Dia didapati bersalah. Itu adalah fakta.
“Jadi pada saya, permohonan maaf itu tidak bawa apa-apa makna,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian DHL Express Kuala Lumpur Gateway, hari ini.
Pada Khamis lalu, Najib membuat permohonan maaf dalam kenyataan yang dibacakan oleh anaknya Datuk Mohamad Nizar.
Bekas Perdana menteri itu kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Najib itu.
Ketika diminta mengulas pandangan dan pendirian DAP sekiranya Najib diberikan hukuman tahanan di rumah, Anthony berkata, peruntukan tersebut belum diwujudkan memandangkan ia masih belum digubal sehingga kini.
Dalam masa yang sama beliau berkata, jenayah serius tidak wajar diberikan hukuman sedemikian.
“Tiada peruntukan sedemikian di bawah undang-undang untuk sebarang tahanan rumah. Jadi, perbincangan mengenai undang-undang tahanan rumah yang sedang digubal, ia adalah mengenai reformasi penjara.
“Ini bukan soal Najib. Terdapat ambang tertentu bahawa jenayah tertentu tidak boleh dimasukkan ke dalam tahanan rumah. Dan, sudah tentu, jenayah yang serius tidak dibenarkan di bawah tahanan rumah,” jelasnya.
Sementara itu, beliau optimis hukuman tersebut tidak digubal semata-mata untuk meringankan hukuman Najib.
“Jadi, saya rasa ia bukan soal Najib berkenaan undang-undang baharu itu. Setakat Najib, dia masih menghadapi pelbagai pertuduhan,” katanya.
Sebelum ini jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, Rang Undang-Undang (RUU) baharu mengenai hukuman tahanan di rumah bukan untuk ‘membebaskan’ bekas Perdana Menteri itu atau orang kenamaan lain.
Ujarnya, niat utama RUU itu adalah untuk menukar konsep ‘punitive justice’ yang diamalkan sebelum ini kepada ‘restorative justice’ atau keadilan pemulihan kepada banduan. MalaysiaGazette