BAITULMAQDIS – Parlimen Israel atau Knesset meluluskan undang-undang untuk melarang Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di negara itu.
Penggubal undang-undang negara Yahudi itu mengundi pada petang Isnin untuk meluluskan dua rang undang-undang.
The Times of Israel melaporkan, undian menyaksikan 92 daripada 120 ahli Knesset menyokong larangan itu, dengan 10 menentang dan undang-undang akan berkuat kuasa dalam 90 hari.
Di bawah undang-undang baharu UNRWA “tidak akan mengendalikan mana-mana institusi, menyediakan sebarang perkhidmatan, atau menjalankan sebarang aktiviti, sama ada secara langsung atau tidak langsung di ‘wilayah Israel’.
Undang-undang itu menetapkan bahawa “aktiviti UNRWA di Baitulmaqdis Timur akan ditamatkan dan kuasa badan itu akan dipindahkan ke tanggungjawab dan kawalan Israel.”
Rang undang-undang berasingan mewajibkan Israel memutuskan semua hubungan dengan UNRWA, menghalang sebarang kerjasama atau keistimewaan yang dipegang oleh agensi itu sebelum ini.
Undang-undang baharu itu membatalkan perjanjian 1967 yang membenarkan UNRWA beroperasi di Israel, menamatkan aktiviti di negara itu dan melarang hubungan antara pegawai Israel dan pekerja agensi.
Ia juga menetapkan bahawa kakitangan UNRWA tidak akan menerima visa diplomatik.
Dengan kelulusan undang-undang, kementerian luar dan dalam Israel tidak akan lagi mengeluarkan visa masuk kepada pekerja UNRWA, pegawai kastam Israel tidak akan mengendalikan barangan import agensi itu, dan pengecualian cukai akan dibatalkan.
UNRWA juga akan kehilangan status diplomatik dan kekebalan yang dipegangnya sejak 1967, lapor Yedioth Ahronoth.
Laporan itu menyebut, tanpa penyelarasan dengan Israel, hampir mustahil untuk UNRWA bekerja di Gaza atau Tebing Barat, kerana Isreal tidak akan lagi mengeluarkan permit masuk ke wilayah tersebut atau membenarkan penyelarasan dengan tentera negara itu.
Israel juga kini mengawal akses ke Gaza dari Mesir, dengan tentera Israel dikerahkan di sepanjang sempadan antara mereka.-Agensi