PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang berterusan mencetuskan kontroversi berkenaan dasar pelarasan subsidi bahan api RON95 kepada golongan T15 yang disifatkan beliau cuba mempertahankan golongan mahakaya.

Sedangkan, tegas Perdana Menteri, golongan T15 yang dipertahankan khususnya oleh pembangkang itu adalah mereka yang memiliki saham sehingga RM2 juta selain turut menjana keuntungan daripada pelbagai sumber lain.

Dalam masa sama, ujar beliau, tumpuan sepatutnya diberikan kepada golongan bawahan iaitu 85 peratus lagi rakyat yang sebenarnya tidak langsung terjejas daripada pelarasan bahan api RON95 itu yang akan dilaksanakan pertengahan tahun depan.

“Kita ini tak banyak bicara soal pertahankan kepentingan golongan bawahan, 85 peratus itu bagi kita tak penting, hanya fikir nak pertahankan orang yang mempunyai pemilikan saham RM2 juta.

“Itu dalam satu syarikat yang bukan syarikat dia, bukan bangunan dia dan bukan juga daripada keuntungan-keuntungan yang lain, tapi hanya daripada pemilikan saham.

“Yang penting diketahui di sini pelarasan subsidi RON95 itu tidak membebankan 85 peratus rakyat, jadi sepatutnya kita janganlah jadi jaguh T15 seperti disuarakan pembangkang,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kerajaan menjelaskan definisi T15 dalam pelaksanaan dasar pelarasan subsidi bahan api RON95.

Sementara itu, kepada soalan tambahan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang mempersoalkan penjelasan berbeza definisi T15 yang dibuat kerajaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

Menurut Anwar, tidak timbul soal kecelaruan tafsiran T15 kerana perkara itu masih dalam perbincangan dan sedang dirujuk kepada mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya dengar ucapan Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli)…kita kata DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia) sekarang menetapkan pendapatan RM13,000 (untuk T15) dan kita fikir ia agak rendah, kenapa tidak dinaikkan ke RM15,000 atau RM20,000…itu sedang dibincangkan.

“Jadi tidak ada percanggahan sama sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa pembangkang sekiranya mempunyai cadangan lebih baik dalam soal pelarasan subsidi bahan api RON95 mengemukakannya kepada kerajaan.

“Saya harap YB (Pasir Puteh) kalau ada cadangan bagi cadangan lain, tapi jangan bagi cadangan tak boleh kenakan cukai kepada orang kaya.

“Ini saya rasa satu cadangan yang sangat aneh dan bertentangan dengan prinsip yang kita mahu tegakkan iaitu pengagihan kekayaan secara adil,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. T15 mrk tak pakai RON95…mrk pakai RON 97 atau EV jaa sbb kereta mewah! Yg patut ko kecam ialah diri sendiri dan Rapizi…Bukan koranv berdua kaa yg melalak kritik usaha DS Najib masa dia nak buat pelarasan subsidi Petrol? Ko jgn buat2 lupa..zaman skrg ni zaman internet…rakyat bukan bodoh tak blh nak skrol balik kenyataan ko berdua..cakap tak serupa bikin

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here