LONDON – Manchester United dilaporkan telah mencapai persetujuan lisan dengan penguris Sporting Lisbon, Ruben Amorim sebagai pengurus baharu.
Bagaimanapun rundingan antara kedua-dua kelab masih diteruskan.
Menurut pakar perpindahan bola sepak, Fabrizio Romano, Amorim telah memberi lampu hijau dan menunjukkan semangat yang tinggi untuk menyertai United di mana dia terbuka hati menerima projek dan syarat yang telah dibincangkan.
Bagaimanapun, perjanjian akhir kini bergantung kepada kelancaran rundingan di antara United dengan Sporting CP di mana gergasi portugal itu telah menetapkan klausa pelepasan Amorim yang bernilai sebesar €10 juta Euro.
Amorim dilaporkan bukan sahaja menjadi sasaran United kerana jurulatih berusia 39 tahun itu juga diminati oleh Manchester City sebagai calon menggantikan Pep Guardiola, jika pengurus itu memutuskan untuk pergi pada penghujung kontraknya pada musim panas depan.
City dilaporkan memang berminat dengan Amorim terutamanya selepas beberapa staff kanan City termasuk pengarah sukan mereka mempunyai hubungan profesional dan hubungan peribadi yang rapat dengan jurulatih tersebut.
Bagaimanapun United telah meyakinkan Amorim dan City mungkin menghadapi masa sukar jika Guardiola benar-benar meninggalkan mereka.
Amorim sebelum ini dikaitkan dengan West Ham United tetapi kelab itu akhirnya memilih Julen Lopetegui sebagai jurulatih baharu mereka.
Dengan rekod prestasinya yang mengagumkan bersama Sporting Lisbon di mana dia berjaya menamatkan kemarau kejuaraan kelab itu pada 2021, Amorim dijangka mampu membawa perubahan positif di Old Trafford.
Kontrak Amorim di Sporting Lisbon ditetapkan mempunyai klausa pelepasan yang cukup menarik kerana kelab itu menetapkan tiga syarat-syarat tertentu mengenai yuran pelepasan bergantung kepada kelab yang berminat.
Kebanyakan kelab Eropah dikenakan bayaran pampasan sebesar €20 juta Euro manakala United bersama enam kelab besar lain, seperti Real Madrid dan Barcelona, hanya perlu membayar 10 juta euro.
Jumlah itu dianggap oleh United sebagai nilai yang masuk akal untuk membawa masuk jurulatih yang berpotensi besar seperti Amorim.
Media melaporkan jika Amorim secara rasmi menyertai United, gaji pengurus itu akan mengalami kenaikan melebihi tiga kali ganda daripada pendapatan semasa di Sporting, yang dianggarkan sekitar £2.1 juta semusim.
Semalam, United memecat pengurus, Erik ten Hag selepas kelab di Old Trafford itu menduduki tangga ke-14 selepas sembilan perlawanan dengan merekodkan pencapaian terburuk Liga Perdana Inggeris. – Agensi