MELAKA – Seorang peruncit hanya mampu tergamam apabila pelanggannya, seorang peniaga restoran warga asing membawa pihak berkuasa menyerbu kedainya kerana menjual minyak masak peket tanpa had kepada bukan warganegara.
Ia selepas peruncit wanita berusia 40-an itu pada awalnya menafikan melakukan kesalahan itu ketika diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.
Tidak berpuas hati dengan tindakannya itu, Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar yang mengetuai Op Kita Gempur di Taman Mewah di sini kemudian ‘mengheret’ warga asing berkenaan ke kedai runcit terbabit untuk membuktikan dakwaannya.
“Selepas itu, barulah wanita berkenaan mengaku ada menjual 10 peket minyak masak bersubsidi kepada peniaga restoran terbabit melebihi had tiga peket yang dibenarkan.
“Alasannya adalah kerana warga asing berkenaan turut membeli sayur-sayuran di kedainya untuk kegunaan restoran dan tidak sampai hati untuk menolak permintaan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan tamak peruncit berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana sudah mengambil hak isi rumah rakyat negara ini.
“Masa serbuan tadi, ada 14 karton setiap satunya ada 12 peket minyak yang sepatutnya tidak berlaku ketirisan kerana stok minyak masak peket banyak di pasaran.
“Kedai runcit ini sudah beroperasi lebih 10 tahun dan walaupun peruncit mendakwa ada juga menjualnya kepada warganegara namun majoriti pelanggannya adalah warga asing,” katanya.
Tambah Norena, susulan itu pihaknya membuka satu kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap kedai runcit tersebut.
Menurut beliau, KPDN Melaka akan terus melaksanakan program pemutihan kedai runcit bagi mengesan ketirisan penjualan minyak masak paket bersubsidi di negeri ini.
“Menurutnya, setakat ini empat kes telah dihasilkan membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette