Oleh: Dr. Mohd Khairi Ismail
DI Malaysia, pengelasan isi rumah kepada B40, M40, dan T20 berdasarkan tahap pendapatan bertujuan membantu kerajaan dalam mengenal pasti kumpulan sosio-ekonomi. Golongan B40 merujuk kepada 40% isi rumah dengan pendapatan terendah, yang sering menghadapi cabaran dalam memenuhi keperluan asas dan biasanya menerima bantuan kerajaan.
Golongan M40 pula merangkumi 40% di tengah, dengan pendapatan antara B40 dan T20; mereka mempunyai tahap hidup yang lebih baik berbanding B40, tetapi masih berdepan dengan cabaran ekonomi tertentu. Manakala golongan T20 terdiri daripada 20% isi rumah dengan pendapatan tertinggi, yang biasanya menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan mempunyai akses yang lebih besar kepada peluang ekonomi.
Pengelasan ini membantu kerajaan dan agensi lain merancang program sosial dan ekonomi yang tepat untuk menyokong pelbagai segmen masyarakat. Walau bagaimanapun, pembentangan Belanjawan 2025 telah membawa kepada penumpuan golongan T15 yang dikatakan sebagai golongan “mahakaya”. Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, pengkelasan mengenai kategori T15 sedang diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi yang dibuat oleh kerajaan nanti adalah adil kepada semua pihak. Oleh itu, adalah penting untuk mengenal pasti ciri-ciri golongan T15 dan adakah benar golongan ini dilabelkan sebagai “mahakaya”.
Secara asasnya, golongan T15 dalam konteks kelas pendapatan di Malaysia merujuk kepada kumpulan isi rumah dengan pendapatan bulanan tertentu. Golongan T15 biasanya digunakan untuk merujuk kepada 15% teratas dalam pembahagian pendapatan, yang menunjukkan kumpulan yang mempunyai pendapatan tertinggi dalam masyarakat.
Kumpulan ini sering kali terdiri daripada individu atau keluarga dengan pendidikan tinggi, pekerjaan profesional, atau pemilik perniagaan yang berjaya. Mereka biasanya mempunyai akses kepada sumber dan peluang yang lebih baik berbanding dengan golongan pendapatan rendah.
Selain itu, golongan T15 tidak dianggap miskin; sebaliknya, mereka adalah kumpulan yang mempunyai pendapatan tertinggi dalam masyarakat. Dalam konteks pendapatan, golongan ini biasanya menikmati taraf hidup yang lebih baik, dengan akses kepada pendidikan, kesihatan, dan peluang pekerjaan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, ia perlu juga mengambil kira keadaan semasa yang dihadapi oleh golongan ini. Contohnya, golongan T15 tanpa tanggungan boleh dikatakan “maha kaya” berbanding mereka yang berkeluarga.
Selain itu, terdapat isi rumah yang dikategorikan golongan T15 hasil daripada jumlah pendapatan suami isteri. Hal ini pasti menunjukkan perbezaan realiti hidup yang sebenar meskipun mereka berada dalam kategori pendapatan yang sama. Contohnya, seorang individu bujang dalam golongan T15 mungkin mempunyai pendapatan tinggi dan dikatakan “mahakaya”. Manakala golongan T15 mempunyai tanggungan besar dan tinggal di kawasan bandar, situasi kewangan mereka mungkin tidak sebaik individu T15 yang tidak mempunyai tanggungan.
Pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah menyebut tentang golongan T15 dan beberapa subsidi yang dikurangkan bagi golongan ini. Beberapa perubahan penting telah diumumkan berkaitan dengan golongan T15, termasuk pemotongan subsidi petrol RON 95 sebanyak RM8 bilion dan pengurangan subsidi pendidikan secara berperingkat. Penjimatan daripada langkah-langkah ini akan digunakan untuk meningkatkan prasarana Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Selain itu, golongan T15 juga akan dikenakan kenaikan yuran bagi sekolah berasrama penuh, sekolah menengah sains, dan universiti awam, mencerminkan pendekatan kerajaan untuk mengimbangi perbelanjaan dan memperkukuh sistem pendidikan. Oleh itu, pengkelasan mengenai golongan T15 perlu diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi yang akan dibuat oleh kerajaan adalah adil kepada semua pihak.
Secara umum, golongan T15 tidak memerlukan bantuan kewangan, kerana mereka berada dalam kumpulan pendapatan tertinggi dan biasanya mempunyai sumber yang mencukupi untuk menyokong gaya hidup mereka. Namun, ada situasi tertentu di mana individu dalam golongan ini mungkin memerlukan bantuan, seperti dalam kes kesihatan, pendidikan anak, atau masalah kewangan yang tidak dijangka.
Oleh itu, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan semula tindakan penarikan subsidi petrol, kesihatan, dan pendidikan terhadap golongan T15. Meskipun langkah tersebut membawa penjimatan bermakna yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain, mengambil contoh penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion daripada penyasaran subsidi elektrik, ayam (RM1.2 bilion), dan diesel (RM4 bilion), kesejahteraan golongan ini perlu diberi perhatian memandangkan golongan ini juga merupakan golongan produktif sebagai pembayar cukai.
Selain itu, keputusan untuk penyasaran subsidi, terutama golongan T15, bukan hanya mengambil kira aspek pendapatan tetapi juga mengambil kira elemen akses pendidikan, kesihatan, dan kesejahteraan seperti yang dicadangkan dalam Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi.
Penulis merupakan Felo Penyelidik Pasca Siswazah di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya,