Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba bagi pendengaran keputusan penyelewengan dana 1MDB dengan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 30 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR –  Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan kesemua 25 pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan, sekali gus sekali gus mengarahkan bekas Perdana Menteri itu membela diri.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mula membaca keputusannya lebih satu jam setengah memutuskan semua 21 pertuduhan penggubahan wang melibatkan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) dan empat tuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan bernilai RM2.3 bilion oleh Najib tidak cacat dan tidak prejudis.

Menurutnya, pasukan pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya prima facie dalam setiap pertuduhan itu pada akhir kes sebelum ini.

Beliau memutuskan kesemua pertuduhan itu telah dilakukan oleh Najib ketika menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Najib yang ketika itu sedang duduk di kandang tertuduh dikelilingi oleh pegawai penjara Kajang selain ditemani keluarganya kelihatan sedikit penat, sugul namun tenang.

Ketika jurubahasa mahkamah bertanya apakah pilihan beliau untuk membela diri, jawab Najib dengan suara kuat dan jelas bahawa beliau mahu memberikan keterangan secara bersumpah di kandang serta boleh di soal balas oleh pendakwaan.

Hakim kemudian menetapkan 2 Disember ini bagi prosiding bela diri.

Terdahulu, kata Collin, tuduhan yang dikenakan ke atas Najib tidak kabur dan bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak pernah dikelirukan oleh mana-mana pihak sepertimana didakwa pembelaan sebaliknya tertuduh tahu dan sedar tentang kesalahan-kesalahan itu.

Collin juga menolak dakwaan Najib bahawa ada beberapa saksi pendakwaan mempunyai kepentingan dan kredbliti mereka tidak cukup utuh sebaliknya kata beliau tuduhan dikenakan Najib tidak terjejas langsung.

Antara nama saksi yang dipetik oleh Collin termasuklah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazarudin; dan bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

”Mungkin ada dakwaan terhadap kepentingan saksi-saksi ini tetapi pembabitan tertuduh (Najib) dalam kesemua pertuduhan ini langsung tidak terjejas. Saksi-saksi ini juga tidak dibicarakan oleh mahkamah.

“Saya dapati setiap keterangan saksi-saksi ini juga konsisten selain menjelaskan tentang hubungan antara tertuduh dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

“Dakwaan dan andaian bahawa tertuduh sebenarnya menjadi kambing hitam atau keterangan diberikan oleh saksi-saksi ini adalah untuk mengenakan tertuduh tidak boleh digunakan,” ujarnya.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014.

Semua kesalahan yang mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dikenakan hukuman sehingga penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan andai sabit salah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib berdepan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Ketika ini juga, Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bermula 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast