KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah mengarahkan beliau membela diri terhadap 25 pertuduhan salah guna kuasa dan penggubahan wang haram dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion.
Perkara itu didedahkan oleh peguam yang mengetuai pasukan bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebentar tadi.
Kata Muhammad Shafee, Najib dan pasukan pembelaan sangat kecewa dengan keputusan oleh Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
“Kita kecewa dengan keputusan ini. Anak guam kami kecewa dengan keputusan ini. Tetapi beliau telah memilih pilihan yang pertama iaitu untuk membela dirinya dari kandang secara bersumpah bermula 2 Disember ini.
”Anak guam kami tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan dalam kes ini.
“Setakat ini kita akan panggil sekurang-kurangnya 11 orang saksi,” katanya kepada media di lobi Mahkamah Jalan Duta di sini.
Sebentar tadi, mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Ketika ditanya keadaan Najib, kata Shafee anak guamnya tenang dan dalam keadaan baik serta bersedia untuk menghadapi situasi ini.
Dalam pada itu, Shafee juga menegaskan Najib tidak memohon maaf kepada rakyat Malaysia minggu lepas berhubung penyelewengan 1MDB untuk memastikan keputusan hari ini berpihak kepadanya.
Sebaliknya kata Shafee, sebagai seseorang yang bertanggungjawab menjaga negara pada masa itu, Najib rasa beliau bertanggungjawab untuk mengeluarkan permohonan maaf itu.
“Ini bukan pelik kerana sebagai ketua negara ketika itu beliau mempunyai rasa tanggungjawab tersebut.
“Beliau tidak mengaku salah melakukan penyelewengan itu tetapi memohon maaf kepada seluruh rakyat di negara ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette