Chan Kyam didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini atas tuduhan membunuh lelaki Pakistan pada 21 Oktober lalu.

GEORGE TOWN – Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga Pakistan di Jalan Burmah di sini, pada 21 Oktober lalu.

Tertuduh, Keong Chan Kyam, 38, didakwa membunuh Rashid Mahmood di kedai Soon Huat di Jalan Burmah di sini, jam 4 petang pada 21 Oktober lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Basri namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel berkaitan: Lelaki Pakistan maut ditikam dengan pemutar skru

Suspek utama tikam lelaki Pakistan dengan pemutar skru diberkas

Pada 22 Oktober lalu, polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan kes lelaki Pakistan mati ditikam dengan pemutar skru di sebuah kedai buah di Pulau Tikus di sini, dalam tempoh kurang 24 jam selepas suspek utama kes tersebut diberkas.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek utama berusia 38 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjong Tokong di sini, jam 12.55 tengah hari.

“Turut ditahan lima lagi suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

“Penahanan tersebut menjadikan seramai 14 suspek telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Isnin lalu, mangsa berusia 48 tahun didakwa cuba mencuri minuman keras di kedai berkenaan sebelum disedari pemilik premis.

Ketika pemilik premis menegur perbuatan lelaki itu, seorang pelanggan yang datang ke kedainya dikatakan secara tiba-tiba bertindak menikam mangsa.

Mangsa meninggal dunia selepas dihantar oleh rakannya ke sebuah klinik di Jalan Dato Keramat yang dianggarkan terletak kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here