Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani

MUAR – Seorang pengusaha kantin kerugian RM800,000 selepas ditipu sindiket menawarkan tender pelaburan membekal makanan ke sekolah yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa, 48, mendakwa ditipu selepas bertemu suspek di daerah ini pukul 7.30 malam tahun lalu.

“Dalam pertemuan tersebut, mangsa ditawarkan tender pelaburan membekal makanan ke sekolah bermula 1 Julai 2023 hingga 31 Oktober 2025.

“Suspek turut menawarkan keuntungan sebanyak 17 peratus daripada pelaburan itu sebelum lelaki itu bersetuju menyertainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bermula 1 hingga 4 Oktober tahun lalu, mangsa menyerahkan cek secara berperingkat-peringkat atas nama suspek menerusi serahan tangan serta memasukkan dalam mesin cek deposit.

Mangsa pada masa sama ujarnya, dijanjikan akan mendapat pulangan keuntungan dalam masa terdekat.

Namun katanya, sehingga laporan dibuat semalam, mangsa tidak menerima sebarangan keuntungan seperti dijanjikan.

Shahrulanuar berkata, mangsa yang mula sedar ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here