BUTTERWORTH – Taktik licik sindiket penyeludupan rokok yang menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh dekat sini, sebagai stor simpanan berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Serbuan Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang pada 8 Oktober lalu, kira-kira jam 1 tengah hari itu membawa kepada penemuan lebih 1.99 juta batang rokok seludup bernilai hampir RM1.4 juta yang disembunyikan di dalam sebuah bilik rahsia di tingkat bawah rumah berkenaan.
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali berkata, bilik rahsia itu ditutup dengan sebuah almari ditempah khas bagi tujuan menyembunyikan rokok tersebut.
“Selepas mengalihkan almari itu, pasukan serbuan menjumpai 1,543,100 batang rokok putih dan 450,120 batang rokok kretek pelbagai jenama yang disorokkan.
“Kesemua rokok yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM581,254 dan melibatkan duti cukai berjumlah RM1,373,650.60,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Rohaizad berkata, siasatan lanjut mendapati rokok-rokok terbabit dipercayai dibawa masuk dari negara jiran bagi pasaran di negara ini manakala rumah tersebut dijadikan stor untuk menyimpan.
“Semakan kita mendapati rumah berkenaan disewakan kepada warga asing sejak dua tahun lalu. Susulan itu, kita menahan lelaki tempatan berusia 70 tahun yang merupakan pemilik rumah berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 136(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976,” katanya. – MalaysiaGazette