Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mahu Tucker Carlson menarik balik kenyataan melibatkan negara ini dalam kempen politik di Amerika Syarikat (AS) dan memohon maaf kepada Malaysia.

“Saya ingin mengkritik pengulas Parti Republikan AS yang merendahkan Malaysia ketika menyerang Kamala Harris.

“Pengulas politik Republikan AS, Tucker Carlson menggelar calon presiden Demokrat AS, Kamala Harris, sebagai “Samoan-Malaysian” dengan IQ rendah.

“Dalam tuduhan terhadap Harris, dia turut merendahkan Malaysia, yang terjerumus sekali dalam konflik dua parti di AS. Dia harus menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menurut laporan berita antarabangsa, Carlson membuat kenyataan tersebut pada hari Ahad lalu (27 Oktober) di acara kempen Trump di Madison Square Garden, New York.

Sebagai Ahli Parlimen, Teresa berkata, beliau mengikuti perkembangan politik dunia terutama pilihan raya presiden AS.

Fokus perdebatan pilihan raya presiden AS seharusnya berkenaan kemampuan, dasar dan visi calon bukan latar belakang keluarga atau tempat kelahiran.

Lebih-lebih lagi Harris bukan berasal dari Malaysia, katanya.

“Saya juga ingin menyeru pemimpin Pas yang sibuk dengan isu bendera China mengalihkan perhatian mereka kepada isu nama baik Malaysia direndahkan oleh ahli politik dalam kempen politik AS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here