Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin barisan peguam Datuk Seri Najib Razak akan menggunakan peluang pembelaan sebaik mungkin bagi membuktikan kebenaran.

Malah Menteri Besar Pahang itu turut mendoakan agar Najib dan keluarga sentiasa tabah dan kuat menghadapi ujian besar yang dihadapi selain melahirkan rasa simpati terhadap bekas Perdana Menteri itu.

“Saya percaya, Datuk Seri Najib dan pasukan peguam beliau akan menggunakan peluang ini untuk membuktikan kebenaran dan membersihkan nama beliau.

“Saya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan berharap keadilan dapat ditegakkan dengan saksama.

“Saya sentiasa mendoakan agar Datuk Seri Najib dan keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang besar ini,” katanya yang merupakan Menteri Besar Pahang menerusi hantaran di Facebook.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Najib membela diri terhadap empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014.

Semua kesalahan yang mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dikenakan hukuman sehingga penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan andai sabit salah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib berdepan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Najib memilih untuk memberikan keterangan bela diri daripada kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal oleh pihak pendakwaan.-

Ketika ini juga, Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bermula 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast