SEOUL – Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), yang terbang selama 86 minit – penerbangan terpanjang yang direkodkan oleh ICMB dan lebih 1,000 kilometer (621 batu) sebelum jatuh ke perairan pantai timur, kata tentera Korea Selatan.
Pelancaran itu berlaku ketika hubungan antara kedua-dua Korea semakin merosot.
ICBM itu dilepaskan kira-kira jam 7.10 waktu tempatan, hari Khamis.
Semalam, Korea Selatan telah memberi amaran bahawa Pyongyang sedang bersiap sedia untuk membedil ICBM menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 5 November.
Kali terakhir Korea Utara membedil ICBM pada Disember tahun lalu.
ICBM mempunyai julat untuk sampai ke benua Amerika Utara.
Jepun berkata, ia memantau pelancaran Khamis, sambil menambah peluru berpandu itu mencapai ketinggian melebihi 7,000 kilometer.
Pegawai Korea Selatan dan AS bertemu selepas pelancaran dan bersetuju untuk “mengambil langkah tindak balas yang kuat dan pelbagai”.
“Tentera kami mengekalkan kesediaan penuh kerana kami berkongsi maklumat balistik Korea Utara dengan pihak berkuasa AS dan Jepun,” “, kata tentera Selatan dalam satu kenyataan.
AS menggelar pelancaran itu sebagai “pelanggaran nyata terhadap beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB”.
“Ia hanya menunjukkan bahawa [Korea Utara] terus mengutamakan senjata pemusnah besar-besaran yang menyalahi undang-undang dan program peluru berpandu balistik berbanding kesejahteraan rakyatnya,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, Sean Savett dalam satu kenyataan.
Pelancaran Khamis ini dibuat selepas Korea Selatan dan AS menuduh Korea Utara menghantar tentera ke Rusia untuk menyokong perang Vladimir Putin di Ukraine.
Pentagon menganggarkan kira-kira 10,000 askar Korea Utara telah dikerahkan untuk berlatih di timur Rusia. “Sebilangan kecil” telah dihantar ke Kursk di barat Rusia, dengan beberapa ribu lagi dalam perjalanan, kata AS awal minggu ini.
Dakwaan kehadiran tentera Korea Utara di Rusia telah menambah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai hubungan yang semakin erat antara Putin dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Pyongyang dan Moscow tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan ini. – Agensi