Program Bantuan Tengkujuh Susur Pulau Tahun 2024 yang dilakukan Maritim dan pihak YFBM dilancarkan dalam membantu 108 penduduk di tiga pulau di Mersing yang akan berdepan banjir

MERSING – Program Bantuan Tengkujuh Susur Pulau Tahun 2024 dilancarkan minggu ini dalam usaha membantu penduduk di tiga pulau yang akan berdepan banjir tidak lama lagi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menganjurkan program itu dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) bermula Ahad lalu sehingga semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, program berkenaan sebagai komitmen berterusan dalam membantu komuniti maritim menghadapi musim tengkujuh.

“Bagi melancarkan perjalanan misi berkenaan, pihak kami menyediakan dua kapal peronda dan dua bot Perkasa bagi membawa bantuan makanan serta keperluan asas.

“Bantuan ini melibatkan 108 penerima yang terdiri daripada nelayan pantai dan penduduk di Pulau Pemanggil, Pulau Aur, dan Pulau Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selain bantuan logistik, Maritim Malaysia turut mengisi segmen program berkenaan dengan mengadakan taklimat kesedaran keselamatan di laut kepada penghuni ketiga-tiga pulau berkenaan.

Jelas beliau, ini sebagai langkah pencegahan kemalangan dan kecemasan di laut.

“Selain menyediakan sokongan logistik bagi menghantar bantuan sampai kepada penduduk dengan selamat pada musim tengkujuh ini, Maritim Malaysia turut menggunakan ruang yang diberikan dengan menyampaikan taklimat tentang kepentingan serta langkah pencegahan insiden di laut.

“Bukan itu sahaja, program ini turut menjadi platform penting kepada Maritim Malaysia dalam usaha mengukuhkan solidariti dan kebersamaan dengan komuniti maritim,” tambah beliau.

Suhaizan berkata, program itu merupakan langkah proaktif ke arah meningkatkan kualiti hidup komuniti maritim, sejajar aspirasi Maritim Malaysia untuk memberi impak positif kepada masyarakat.

Maritim Malaysia dan YFBM berharap usaha ini akan menjadi pencetus kepada lebih banyak kerjasama strategik pada masa hadapan, katanya.

“Ini dalam usaha melindungi serta mensejahterakan komuniti maritim di Malaysia. Program kali ini turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, Johan Halid bersama 22 peserta yang terdiri daripada kakitangan dan sukarelawan YFBM.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast