ISKANDAR PUTERI – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan empat warga asing dalam operasi Ops Kutip dan Ops Jaja di pasar malam Taman Nusa Perintis, Gelang Patah, kelmarin.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi berkenaan dilakukan bermula dari pukul 6.20 petang hingga 7.20 malam.
Mereka yang ditahan itu katanya, terdiri daripada dua lelaki warga Thailand dan seorang lelaki warga Kemboja selain seorang lelaki warga Pakistan.
“Tindakan diambil susulan aduan awam berhubung kegiatan dan kewujudan pengemis dan pengutip derma warga asing di sekitar pasar malam berkenaan.
“Pengemis warga asing ini dipercayai menjalankan aktiviti meminta sedekah sejak lebih tiga bulan di pasar malam itu.
“Pengemis yang ditahan dipercayai kudung sebelah kaki dan ada yang menggunakan alasan membiayai sekolah tahfiz atau institusi keagamaan untuk meraih simpati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, JIM Johor melakukan serbuan di lokasi pasar malam itu pada Januari lalu, namun masih terdapat individu lain yang dipercayai melakukan kegiatan terbabit.
“Lokasi yang strategik dan sikap mudah kasihan rakyat Malaysia terhadap golongan ini mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada pengemis ini.
“Penahanan mereka membuktikan mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial dan mampu meraih pendapatan sehingga RM400 sehari atau RM12,000 sebulan,” jelasnya.
Menurut beliau, mereka yang ditahan dan berusia antara 22 hingga 56 tahun itu dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Pada masa sama, Mohd Rusdi berkata, pihaknya memandang serius isu pengemis warga asing dan aktiviti kutipan derma tanpa kebenaran secara bersindiket daripada terus berleluasa.
“Kita akan terus membanteras warga asing yang menyalahgunakan pas atau permit yang diberikan. Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melanggar undang-undang,” tegasnya.- MalaysiaGazette