KUALA LUMPUR – Masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya bumiputera masih belum memiliki rumah sendiri walaupun mereka mampu berbuat demikian.
Golongan ini adakalanya lebih gemar menyewa rumah daripada membeli sendiri atas alasan enggan terikat dengan pinjaman bank.
Ada juga yang beranggapan unit-unit kediaman sekarang dijual pada harga yang tinggi menyukarkan proses untuk memiliki kediaman sendiri.
Pengarah Urusan MMC Sdn. Bhd., Datuk Nor’ashikin Taib yang berperanan sebagai penganjur Ekspo Rumah BPEX mengakui wujudnya stigma pemilikan rumah dalam kalangan bumiputera.
“Bercakap mengenai kaum bumiputera memang stigma masyarakat menyatakan rumah mahal, amat membebankan untuk membayar ansuran bulanan, tidak salah dan tidak hina menyewa. Tetapi berbeza perasaan jika memiliki rumah sendiri berbanding menyewa,” katanya dalam program Podcast MG terbitan MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut, Nor’ashikin menepis tanggapan proses memiliki rumah leceh dan membebankan.
Katanya, untuk memiliki hartanah memerlukan perancangan awal dan mempunyai ilmu pengetahuan selain mempunyai cita-cita serta semangat untuk mendiami rumah impian.
Beliau melihat pentingnya peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak untuk memiliki kediaman sendiri.
“Ibu bapa memainkan peranan penting bagaimana untuk menggalakkan anak-anak menanam cita-cita membeli rumah sendiri berbanding menyewa. Sebenarnya banyak rumah di pasaran yang mampu dimiliki, perlu ambil tahu serta cari, jika tidak cari memang tiada,” katanya.
Nor’ashikin berkata, tindakan individu menangguh hasrat untuk membeli rumah akan memberi kesan besar di kemudian hari terutamanya dari segi peningkatan harga rumah setiap tahun serta kemungkinan skim yang ditawarkan telah ditamatkan.
Menurut Nor’ashikin, menyedari kekangan dalam kalangan bumiputera untuk memiliki rumah terutamanya untuk mengubah pemikiran mereka, pihaknya meneruskan inisiatif Ekspo Rumah BPEX sebagai platform terbaik untuk rakyat Malaysia memiliki rumah pertama.
Katanya, sebanyak 7,000 unit lot bumiputera akan ditawarkan oleh 50 pemaju di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sepanjang pameran berlangsung.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 1,000 unit berharga antara RM200,000 ke RM350,000 manakala 4,000 unit untuk nilai RM350,000 ke RM450,000 iaitu harga rumah berpatutan untuk kawasan di sekitar ibu kota.
Katanya, Ekspo Rumah BPEX dengan anggaran nilai hartanah berjumlah RM4 bilion ini bakal merealisasikan impian pengunjung untuk memiliki aset tanpa bayaran pendahuluan, menikmati tawaran diskaun 10 peratus, rumah dilengkapi perabot, yuran guaman percuma, pengecualian duti stem bagi pembelian RM500,000 ke bawah serta pelbagai hadiah menarik disediakan serta cabutan bertuah.
Pameran BPEX akan berlangsung di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) pada 9 dan 10 November bermula jam 11 pagi hingga 9 malam.
Penganjuran kali ini mensasarkan kira-kira 30,000 pengunjung khususnya anak muda dan kaum wanita yang semakin peka dalam isu pemilikan rumah sebagai aset jangka panjang serta pelabur-pelabur hartanah.
Nor’ashikin menyarankan semua rakyat Malaysia terutama bumiputera golongan B40 dan M40 merebut peluang menyertai Ekspo Rumah BPEX yang mendapat sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan memanfaatkan pelbagai skim yang ditawarkan kerajaan seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk mereka yang tiada pendapatan tetap dan slip gaji bagi memiliki rumah pertama. – MalaysiaGazette