Friday, November 22, 2024
Home Nasional KPT tunggu maklumat lengkap dakwaan pelajar Malaysia jadi tentera upahan asing

KPT tunggu maklumat lengkap dakwaan pelajar Malaysia jadi tentera upahan asing

Dr Zambry Abd Kadir
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) belum mendapat maklumat lengkap berhubung dakwaan seorang pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di luar negara yang didakwa terlibat sebagai tentera upahan asing dalam konflik Ukraine dan Rusia.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya perlu menyemak kesahihan mengenai dakwaan itu terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya akan dapatkan maklumat lengkap dan belum dapat lagi. Saya akan semak, ini terlalu pramatang bagi saya untuk komen sebab saya perlu menyemak fakta terlebih dahulu.

“Nanti kalau ada apa-apa, kita akan maklumkan kepada media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Besi  hari ini.
Sebelum itu, Zambry turut hadir dalam Program Temu Anwar yang berlangsung di UPNM.
Beliau diminta mengulas kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memaklumkan lelaki yang MyKad dan lesen memandunya didakwa ditemui di medan perang di Ukraine sedang melanjutkan pengajian di negara terbabit menurut maklumat keluarganya.
Beliau menambah, pihaknya juga sedang menunggu maklum balas Kedutaan Rusia berhubung dakwaan pembabitan rakyat Malaysia dalam konflik perang antara negara itu dan Ukraine.
Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Cawangan Khas sudah berhubung dengan Kedutaan Rusia di Malaysia berhubung perkara itu.
Selasa lalu, media melaporkan tular penemuan dua keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.
Lelaki yang tular itu didakwa membabitkan diri sebagai tentera upahan dalam ’16th Rifle Batallion Ukraine’ yang mana ia sedang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.
Dokumen berkenaan yang antaranya menunjukkan alamat berdaftar di Padang Besar, Perlis ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny, Zaporizhia, Ukraine. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast