Datuk Muhammad Olian Abdullah menyampaikan taklimat pendaftaran dan memeperbahui lesen menjual dan mengagih buah sawit (MPOB) di Balai Raya Kampung Gadak di Muadzam Shah baru - baru ini

ROMPIN – Orang Asli di Pahang diharapkan terus berdiri sama tinggi dengan bangsa lain dan menjadi masyarakat maju supaya dapat menikmati peningkatan sudut ekonomi, pendidikan dan sosial di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (Oraco), Datuk Muhammad Olian Abdullah berkata, mereka sepatutya tidak perlu terhegeh-hegeh menagih hak sendiri sebaliknya berusaha menguruskan tanah demi legasi mereka dengan cara yang betul.

”Orang Asli di Pahang ambillah peluang untuk memperbaharui lesen atau permohonan lesen MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) kerana kerajaan negeri telah memberikan kebenaran atau kelulusan kepada Oraco untuk mengesahkan tanah pemilikan Orang Asli.

”Mohonlah lesen MBOP kerana bila kita mohon melalui kaedah permohonan pengeluaran hasil tanaman (tapping right) di tanah milik kerajaan  tadi maka ada rekod masing-masing di pejabat tanah daerah,” katanya.

Selain pengurusan tanah, Orang Asli perlu menjadikan pendidikan sebagai teras utama dalam membentuk serta mengubah masa depan kelompok itu termasuk menguasai teknologi digital.

Bekas Ahli Dewan Negara itu berkata demikian ketika mengadakan taklimat pendaftaran dan memeperbahrui lesen menjual dan mengagih buah sawit di Balai Raya Kampung Gadak di Muadzam Shah dekat sini baru-baru ini.

Tedahulu, Oraco telah mendapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) ke-31 pada 28 Ogos lalu dan diberi tanggungjawab untuk memberi pengesahan untuk pembaharuan lesen pekebun kecil Orang Asli itu.

Justeru Olian menafikan tuduhan yang dilemparkan kepada Oraco dan kerajaan negeri kononnya mereka ingin merampas tanah pekebun Orang Asli yang telah diusahakan saban tahun.

Sebaliknya Oraco berfungsi sebagai pemudahcara bagi membantu kelompok itu memiliki tanah pada masa akan datang dengan tatacara permohonan dan pengurusan mengikut garis yang betul.

Pahang, jelasnya, merupakan negeri pertama yang mewujudkan badan berkanun bagi membantu golongan itu sejak tahun 2022 dalam dengan matlamat membangunkan orang asal.

Oraco merupakan inisiatif untuk memperkasa masyarakat orang Asli supaya lebih komprehensif selain berperanan membantu menjaga kebajikan dan memperkasakan ekonomi mereka.

Difahamkan masyarakat Orang Asli di negeri ini terdiri daripada lapan suku kaum iaitu Jakun, Semelai, Semaq Beri, Jahut, Temuan, Bateq, Semai dan Temiar yang mencecah lebih dari 90,000 orang.

Dalam pada itu Olian menafikan tanggapan segelintir masyarakat berhubung penubuhan organisasi yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri itu adalah miliknya seperti yang telah didakwa segelintir pihak sebelum ini.

”O pada nama Olian bukan untuk Oraco. Sebelum ini ada tomahan mengatakan Oraco milik saya atau syarikat bukan dimiliki kerajaan negeri. Untuk makluman Oraco adalah entiti kerajaan negeri diwujudkan dan diluluskan oleh kerajaan negeri.

”Ia dibawa tiga kali dalam menyuarat kerajaan untuk meluluskan penubuhan dan saya dilantik oleh Menteri Besar Pahang untuk membantu kaum saya sendiri dan JAKOA. Hentilah tohmahan yang tidak bersasas,” tegasnya.

Dalam pada itu, katanya, tujuan penubuhan Oraco bukanlah untuk bersaing atau menidakkan peranan Jabatan Kemajuan Hal Orang Asli (JAKOA) malahan fungsi yang diluluskan Oraco ialah sebagai pusat sehenti dalam menggerakkan ekonomi masyarakat Orang Asli.

Ia sekaligus membantu menyelesaikan apa sahaja kesulitan yang dihadapi oleh pihak JAKOA khusus dalam penyelesaian isu tanah.

”Perlu difahamkan JAKOA merupakan jabatan di peringkat pusat manakala Oraco membantu di peringkat negeri, kedua-dua berperanan membantu ’Orang Kita’.

”Sesiapa sahaja yang menjadi Menteri Besar Pahang maka dialah menjadi Pengerusi Oraco, saya berharap janganlah mendengar tomahan-tomahan yang tidak bertanggungjawab.

”Jadi marilah kita bersama dengan kepimpinan kerjaan negeri di bawah pimpinan Tok Wan (Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) untuk bantu orang kita,” katanya.

Olian berharap masyarakat Orang Asli terus berhubung dengan pihaknya jika terdapat kemusykilan berhubung apa sahaja isu membabitkan masyarakat setempat dan tidak menilai berdasarkan persepsi yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

Sebelum ini penubuhan Oraco didakwa terpalit dengan kontroversi yang didakwa mendapat tentangan dan dimanupulasi oleh pihak tertentu yang dikatakan cuba merampas hak orang asal itu.-  MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Pahang tubuh Oraco bantu masyarakat Orang Asli

UMNO sentiasa hargai, angkat suara Orang Asli – Wan Rosdy

Pahang beri pemilikan tanah kepada orang asli

Ahli Parlimen Cameron Highlands dilantik ahli MKT UMNO, pertama dalam sejarah – Asyraf

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Yang menjadi ketidakpuasan hati dikalangan masyarakat org asli pahang ialah perlaksanaan organisasi itu sendiri.Jika dilihat sekarang ialah cara pengambil alihan pengurusan ladang Tsk/Tsb dibawah Risda/Jakoa,dimana pihak oraco tidak melalui perbincangan dengan peserta langsung.Mereka masuk di semua ladang Tsk khas tidak berbincangan dan tidak menunjukkan sebarang kertas kerja yg boleh menyakinkan para peserta itu sendiri.Sekurang-kurangnya,mereka tunjukkan la apa-apa perjanjian dengan peserta.Mereka menerima arahan di peringkat atasan tetapi tidak melalui peserta orang asli di peringkat bawahan.Macam contoh sebelum ini yang berlaku di Kampung Orang Asli Kundang,kontraktor yang dilantik oleh pihak oraco tidak langsung memaklumkan apa-apa maklumat mereka datang masuk ke dalam ladang tsk orang asli tersebut terus ambil hasil dalam berkenaaan.Umpama masuk ke rumah orang tanpa memberi salam dan buat sesuka hati.Kami orang asli pahang menerima apa bentuk perubahan yang akan dibawa namun haruslah diadakan perbincangan antara dua pihak.Hormati juga kami sebagai orang asli di negeri ini.Bila kami sebagai komuniti yang terlibat tidak menerima maklumat dengan jelas,memang kami tidak berpuas hati.Apa yang terjadi sekarang pihak oraco ambil hasil mana-mana ladang Tsk orang asli namun kerja-kerja pengurusan lain mereka tidak laksanakan.Hasil terjual macam biasa namun keadaan pengurusan ladang yang mengecewakan dari segi keadaan ladang yang semak,pelepah banyak tidak dibuang,jalan ladang banyak rosak dan sebagainya.Ini yang menjadi kebimbangan kami sebagai peserta ladang yang terlibat.Harap semua pihak jangan mendengar permasalahan sebelah pihak saja.Sepatutnya kerajaan Negeri Pahang harus memberi peluang kepada orang asli itu sendiri terlibat dalam hal-hal pengurusan ladang.Kami boleh dan kami juga mampu menguruskannya andai diberi peluang.Sekian,Terima Kasih.

Comments are closed.