wan rosdy
Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang bersetuju untuk memberi pemilikan tanah kepada masyarakat  orang asli bagi memastikan kebajikan mereka terus dijaga dan tidak dipinggirkan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara tersebut telah diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada semalam.

Tambah Wan Rosdy, menerusi penubuhan Orang Asli Corporation (ORCO), kerajaan negeri telah merancang untuk meningkatkan sosioekonomi orang asli menerusi projek-projek ekonomi yang akan dibangunkan di atas tanah milik mereka.

Artikel berkaitan: Pahang tubuh Oraco bantu masyarakat Orang Asli

Masyarakat Orang Asli Pahang dapat perhatian terbaik – Syed Ibrahim

”Sebagai pilot projek, kerajaan negeri telah bersetuju untuk meluluskan pengisytiharan kawasan Skim Tanah Rakyat Khas (STRK) Orang Asli  di Kampung Orang Asli Kampung Mempelam dan Kampung Orang Asli Permatang Siput Fasa II di daerah Pekan yang akan dilaksanakan dengan penanaman kelapa sawit.

”Menerusi projek ini, seramai  359 orang peserta di kawasan tersebut akan mendapat manfaat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga turut merancang untuk melaksanakan Skim Tanah Rakyat Khas ini di kawasan-kawasan masyarakat Orang Asli yang lain bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau menerusi penubuhan ORACO, segala usaha kerajaan negeri bagi membantu masyarakat orang asli untuk keluar daripada kepompong kemiskinan akan dapat dilaksanakan di negeri ini. – MalaysiaGazette