Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN – Masyarakat Orang Asli di Pahang menerima perhatian terbaik di mana pembangunan taraf sosio ekonomi dan kualiti hidup mereka sentiasa dipertingkatkan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang telah memperuntuk sebanyak RM6 juta bagi tujuan itu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Tengku  Zulpuri Shah Raja Puji (Tras – PH) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 hari ini.

”Untuk memisahkan Orang Asli dengan hutan secara mutlak adalah sukar kerana kehidupan mereka sangat akrab dengan hutan bagai cincin dengan jari, gelang dengan lengan dan rantai dengan leher bahkan aur dengan tebing.

”Namun demikian mereka tidaklah dibiar begitu sahaja. Pelbagai usaha telah dilaksana yang kita dapat lihat hari ini pelbagai tokoh negara dan negeri terdiri dari Orang Asli seumpama Timbalan Speaker Dewan Parlimen, Ketua Pengarah JKOA, Pengarah JKOA Pahang dan ramai lagi,” katanya.

Peruntukan RM6 juta itu bagi mempertingkatkan pelbagai keperluan masyarakat Orang Asli sama ada pembinaan atau naik taraf jalan, pembekalan air dan api dari satu kampung ke kampung, dewan dan pelbagai kemudahan asas.

Menurutnya kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri telah membantu masyarakat Orang Asli dalam memajukan tahap dan taraf hidup termasuk aspek pendidikan dan pekerjaan.

Jelasnya, inisiatif JAKOA Negeri Pahang melalui Seksyen Pembangunan Modal Insan Dan Kebajikan (PMK) sentiasa cakna dan memben komitmen yang tinggi bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat orang Asli melalui penganjuran temuduga pekerjaan dengan kerjasama agensi sektor awam dan swasta termasuk mengadakan kursus-kursus serta latihan berbentuk TVET.

Komitmen ini dizahirkan dengan jalinan kerjasama jabatan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi pengambilan rekrut baru khas Orang Asli bagi mengisi jawatan-jawatan kosong di sektor awam tersebut.

”Kita telah berjaya menghantar seramai 102 orang Pelajar OA ke Pelbagai Universiti Awam. Pengambilan ke kursus kemahiran seramai 26 orang melalui Yayasan Pahang dan seramai empat orang diambil berkerja dibawah kelolaan KYP melalui Giat Mara pula seramai 40 orang.

”JAKOA juga mewujudkan kerjasama dengan polis dan TLDM untuk pengambilan anggota terkini seramai 100 orang telah diambil.

”Kerajaan juga telah membuka sebanyak 69 ladang untuk dijadikan sumber hasil. Ladang -ladang ini adalah tanah yang kerajaan negeri peruntukan dan dibangunkan oleh RISDA atau Felcra atau agensi yang dilantik.

“Melalui usaha ini masyarakat orang asli akan memperolehi pendapatan setidak-tidaknya RM500 sebulan,” katanya. – MalaysiaGazette