Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) Negeri Selangor membuat pemeriksaan kenderaan orang awam ketika Ops Khas sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 di Plaza Tol Sunway, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 20 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan bermula 1 November hingga 31 Disember 2024 di seluruh negara bagi memastikan pematuhan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli berkata, Ops Khas Motosikal ini susulan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan yang telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya melibatkan motosikal sebanyak 1,908 atau 70%.

“Bagi mensasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh suku ketiga dan keempat 2024, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan- peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, bagi mencapai objektif keseluruhan operasi ke arah meminimumkan kadar kemalangan dan kematian, JPJ memfokuskan kepada lapan kesalahan utama.

Kesalahan-kesalahan tersebut tiada lessen memandu, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM)/ tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah), ubah suai kenderaan (ekstrem), tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan lain (teknikal).

Sehubungan itu, JPJ memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang/pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya.

Kata beliau, usaha ini untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here