KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam konteks pendidikan penting untuk memupuk cara berfikir baharu.
Bagaimanapun beliau menekankan pelajar tidak boleh terlalu bergantung pada jawapan yang dijana AI kerana ia boleh menghalang mereka daripada mengembangkan kemahiran kognitif yang lebih mendalam.
“Anda boleh bergantung (pada AI). Cuma jangan tinggalkan yang asas. Anda perlu membaca, belajar dan berfikiran kritis baru boleh memanfaatkan AI dengan sebaiknya.
“Kebergantungan keterlaluan kepada AI, kita tak baca lagi dah (buku) dan semua jawapan di Google,” katanya ketika program dialog Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.
Anwar menambah, penggunaan AI boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam pembelajaran jika pelajar tidak meninggalkan budaya membaca dan berfikir secara kritikal untuk menimba ilmu.
Perdana Menteri berkata, sehubungan itu pelajar tidak digalakkan bergantung sepenuhnya kepada AI, sebaliknya menjadikan ia sebagai kekuatan baharu untuk membantu menambah ilmu yang dipelajari. – MalaysiaGazette