Aksi pelumba Prima Pramac Racing Jorge Martin (kiri), Ducati Lenovo Team Francesco Bagnaia (tengah) dan Gresini Racing MotoGP Marc Marquez (kanan) pada perlumbaan Tissot Sprint semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 2 NOVEMBER 2024

SEPANG – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkemungkinan tidak menganjurkan pusingan kemuncak Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang sepatutnya berlangsung di Valencia, kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan diadakan antara SIC dan penganjur perlumbaan, Dorna, berhubung perkara berkenaan selain memaklumkan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia bersedia untuk menganjurkan pusingan kemuncak itu sekiranya penganjur meminta berbuat demikian bagi menggantikan Litar Ricardo Tormo.

“Kalau mereka bagi (kita jadi tuan rumah) kita bersedia. Kalau jadi buat di sini mungkin pada Disember. Tetapi buat masa ini tiada sebarang perbincangan untuk melakukannya di sini, mungkin mereka cari litar lain… mungkin di Eropah.

“Mereka boleh buat di Malaysia tetapi secara teknikal tayar yang mereka keluarkan untuk setiap litar berbeza jadi untuk kembali ke Malaysia, buat tayar baharu ambil masa dalam tempoh sebulan iaitu dua minggu untuk buat tayar dan dua minggu untuk bentuk tayar,” katanya kepada pemberita di SIC, di sini, hari ini.

Semalam, Dorna mengumumkan perlumbaan pusingan penutup tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2024 yang dijadual berlangsung di Valencia pada 15-17 November ini dibatalkan akibat banjir besar yang menyebabkan kemusnahan selain meragut lebih 200 nyawa.

Menurut penganjur, lokasi baharu perlumbaan akhir itu akan diumumkan dalam masa terdekat. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here