Faudzi (tiga dari kiri) pada majlis pemeteraian MoU antara RTB dengan Nusa Kapital dan TT Gratia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat amanah, Rakyat Trustee Berhad (RTB) memeterai perjanjian kerjasama dengan Nusa Kapital Sdn. Bhd. (Nusa Kapital) yang juga sebuah syarikat hartanah, TT Gratia Group untuk sebuah projek hartanah di Melaka.

Pengarah Urusan RTB, Faudzi Mt Din berkata, ia adalah usaha sama sulung syarikat bersama Nusa Kapital yang merupakan penyedia platform pembiayaan antara-rakan-setara atau peer to peer (P2P) patuh syariah pertama di negara malah di dunia.

Beliau berkata, pemeteraian kerjasama itu juga akan melibatkan dana sebanyak RM50 juta dan RTB akan menjadi peme­gang amanah bagi dana tersebut untuk memastikan kelancaran projek hartanah tersebut mengikut perjanjian.

“Kami akan memastikan dana pelabur dilindungi dan juga memberi manfaat kepada mereka dengan memantau tadbir urus Nusa Kapital dan juga TT Gratia.

“Pelaburan melalui platform Nusa Kapital yang berpengalaman luas turut akan dipastikan segala transaksi dalam projek ini berlaku di bawah pemantauan RTB.

“Ini kerana terlalu banyak pelabur di negara ini yang terlibat dalam kes-kes yang mana mereka silap membuat pemilihan terbaik dalam aktiviti pelaburan mereka kerana teruja melabur semata-mata untuk mendapatkan pulangan yang tinggi,” katanya pada majlis  memorandum persefahaman antara RTB dengan Nusa Kapital dan juga TT Gratia di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi RTB, Datuk Zazali Haron, Ketua Pegawai Operasi Nusa Kapital, Izmi Marican dan Pengarah Urusan TT Gratia, Tan Wei Joon.

Mengulas lanjut, Izmi menambah, sebelum memberi penerangan tentang potensi projek tersebut kepada pelabur, pihaknya telah memastikan bahawa syarikat TT Gratia meme­nuhi standard yang diperlukan dan keupayaan syarikat untuk membayar semula dana yang digunakan.

“Kami akan menilai rekod sejarah syarikat, kekuatan dan juga pulangan yang dijangkakan, tempoh masa pulangan tersebut boleh dimanfaat pelabur serta pelbagai perkara lain yang menjadi keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here