Oleh: Norliza Amin
BAHASA Melayu, sebagai bahasa utama di Malaysia, telah mengalami pelbagai perubahan sejak berabad-abad lamanya. Dari zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga era penjajahan, bahasa ini telah menyerap pengaruh dari pelbagai bahasa seperti Arab, Sanskrit, Portugis, dan Inggeris. Namun, dengan ledakan teknologi digital dalam abad ke-21, perubahan terhadap bahasa Melayu menjadi lebih pesat dan dinamik.
Revolusi ini bukan sahaja melibatkan penambahan perkataan baharu, tetapi juga cara penggunaan, penyebaran, dan penerimaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Dalam dekad terakhir, peningkatan penggunaan internet dan media sosial telah mengubah landskap komunikasi global, termasuk di Malaysia. Penggunaan aplikasi seperti WhatsApp, X, Facebook, dan Instagram telah mencetuskan fenomena baru dalam penggunaan bahasa Melayu.
Bahasa yang dahulunya digunakan dalam konteks formal kini turut diadaptasi dalam bentuk yang lebih ringkas dan tidak rasmi untuk memenuhi kehendak komunikasi yang pantas. Penggunaan singkatan seperti ‘brb’ (be right back), ‘btw’ (by the way), dan ‘lol’ (laughing out loud) mula mendapat tempat dalam perbualan harian, dan ini menunjukkan perkataan-perkataan daripada bahasa Inggeris diterjemah atau diserap secara langsung ke dalam bahasa Melayu.
Tambahan pula, istilah teknologi yang berkaitan dengan dunia digital, seperti “log masuk” (login), “muat naik” (upload), “muat turun” (download), dan “pautan” (link) menjadi sebahagian daripada perkataan harian pengguna bahasa Melayu. Pengaruh bahasa Inggeris dalam teknologi ini begitu ketara. Banyak istilah baharu yang tidak mempunyai padanan langsung dalam bahasa Melayu diambil terus daripada bahasa Inggeris atau di-Melayukan secara fonetik.
Penyerapan istilah Global
Dalam era digital, penggunaan singkatan dan akronim menjadi kebiasaan. Hal ini berlaku kerana keperluan untuk menyampaikan mesej dengan cepat dan ringkas. Perkataan-perkataan yang dulunya panjang kini dipendekkan, seperti ‘tq’ untuk terima kasih; ‘gudnite’ untuk selamat malam dan ‘sori’ untuk maaf’.
Di samping itu, perubahan ini didorong oleh had jumlah aksara dalam aplikasi seperti X, yang mengehadkan penggunaan 280 aksara bagi setiap kiriman, menyebabkan pengguna memendekkan ayat dan perkataan untuk memaksimumkan maklumat dalam ruang yang terhad.
Penggunaan akronim juga semakin meluas dalam kalangan generasi muda yang aktif menggunakan platform digital. Istilah seperti ‘OOTD’ (outfit of the day) dan ‘PM’ (private message), sering kali digunakan tanpa mengambil kira latar belakang bahasa asal perkataan tersebut.
Walaupun singkatan ini berasal dari bahasa Inggeris, ia sering digunakan tanpa terjemahan dalam kalangan penutur bahasa Melayu, menunjukkan penerimaan yang luas terhadap percampuran bahasa dalam konteks digital. Selain itu, dalam dunia yang semakin global, bahasa Melayu tidak terlepas daripada pengaruh bahasa-bahasa asing lain. Istilah seperti “influencer”, “viral”, dan “content creator” telah menjadi sebahagian daripada bahasa harian.
Hal ini menunjukkan fenomena global seperti media sosial bukan sahaja mempengaruhi cara orang berkomunikasi, tetapi juga memperkenalkan istilah baharu yang menjadi sebahagian daripada leksikon tempatan. Namun, terdapat usaha oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memperkenalkan terjemahan rasmi bagi istilah baharu ini.
Sebagai contoh, DBP telah memperkenalkan istilah “pempengaruh” bagi menggantikan perkataan “influencer”, tetapi penggunaannya masih kurang meluas berbanding istilah asal. Keadaan ini menunjukkan bahawa penerimaan istilah baharu dalam kalangan masyarakat lebih cenderung kepada istilah global yang lebih mudah difahami dan diterima.
Pengaruh media sosial dalam membentuk evolusi bahasa Melayu tidak boleh diabaikan. Platform seperti TikTok dan Instagram bukan sahaja mempengaruhi gaya hidup tetapi juga cara orang berkomunikasi. Melalui video pendek dan kiriman visual, pengguna sering kali mencipta dan menggunakan slanga yang kemudian menjadi popular dalam kalangan
netizen. Slanga seperti ‘padu’; ‘mood’; ‘chill’ dan ‘quad’ merupakan contoh perkataan yang mendapat tempat dalam perkataan harian generasi muda.
Di samping itu, perubahan ini bukan hanya terbatas kepada perkataan, tetapi juga penggunaan bahasa dalam konteks tertentu. Sebagai contoh, ‘padu’ pada asalnya bermaksud sesuatu yang kukuh, tetapi kini ia digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang hebat atau mengagumkan. Fenomena ini menunjukkan makna perkataan boleh
berubah dan berkembang mengikut konteks penggunaan dalam platform digital. Begitu juga dengan perkataan ‘viral’ yang pada asalnya merujuk kepada penyebaran virus dalam konteks biologi, kini merujuk kepada penyebaran pantas kandungan dalam talian.
Kebimbangan terhadap kelestarian bahasa Melayu
Walaupun perubahan ini mencerminkan dinamik bahasa yang hidup dan berkembang, terdapat kebimbangan dalam kalangan pejuang bahasa tentang masa depan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak dalam bahasa Melayu dicampur dengan bahasa Inggeris telah menjadi satu norma dalam komunikasi harian, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Ini menimbulkan kebimbangan bahawa identiti dan keaslian bahasa Melayu akan terhakis sekiranya trend ini berterusan.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berusaha untuk mengekalkan kesucian bahasa Melayu melalui pelbagai kempen dan usaha pembakuan bahasa. Namun, dalam dunia digital yang berkembang pesat, sukar untuk mengawal evolusi bahasa yang berlaku secaraorganik dalam kalangan pengguna.
Evolusi perkataan dalam bahasa Melayu dalam era digital menunjukkan betapa dinamiknya bahasa ini dalam menghadapi cabaran dunia moden. Pengaruh teknologi, media sosial, dan globalisasi telah mempercepatkan proses perubahan ini. Walaupun terdapat kebimbangan tentang kehilangan identiti bahasa, evolusi ini juga menunjukkan bahawa bahasa Melayu mampu berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Namun, usaha untuk mengekalkan keunikan dan ketulenan bahasa Melayu perlu diteruskan agar bahasa ini kekal relevan dan berfungsi sebagai alat komunikasi yang efektif di peringkat nasional dan global.
Penulis merupakan Pensyarah di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya