KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa bingungnya terhadap laporan mengenai aktiviti jenayah terancang di Malaysia khususnya melibatkan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Bekas perdana menteri itu berkata, beliau keliru dengan pendedahan tertentu mengenai operasi mereka yang menunjukkan organisasi jenayah ini bukan sahaja menjalankan aktiviti haram tetapi juga membayar cukai pendapatan dan denda, sekali gus menimbulkan banyak persoalan tentang sejauh mana mereka berintegrasi dalam sistem.
“Jika mereka membayar cukai ke atas pendapatan yang dicuri, adakah mereka dapat menyimpan baki setelah membayar cukai? Adakah pihak cukai pendapatan melaporkan kepada SPRM tentang pendapatan yang dicuri?
“Adakah mereka melaporkan kepada polis? Saya faham semua perniagaan penjenayah terancang ini telah ditutup. Apa yang berlaku kepada pekerja-pekerja tersebut?
“Adakah mereka kehilangan pekerjaan dan gaji mereka? Atau adakah kerajaan menjaga mereka?, soal Mahathir.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada laporan media Mahkamah Sesyen Selayang minggu lalu yang menuduh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri, Azura Md Yusof dan 21 lagi individu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Mahahtir turut menyinggung kesan tindakan terkini polis yang dikatakan telah membawa kepada penutupan perniagaan yang berkaitan dengan penjenayah terancang.
Bagaimanapun, Mahahtir berkata, beliau menyokong penuh tindakan polis terhadap jenayah terancang yang mana kumpulan-kumpulan ini bukan sahaja terhad kepada Malaysia tetapi juga beroperasi di sekitar 20 negara.
“Laporan menyatakan polis telah meminta negara-negara ini untuk bertindak terhadap penjenayah terancang ini. Apakah kerjasama yang ditunjukkan oleh polis asing? Adakah mereka menghantar kembali penjenayah ke Malaysia?
“Atau adakah mereka menangkap pengendali jenayah ini? Saya merasa bingung. Bolehkah seseorang menerangkan kepada saya?, soal Mahathir lagi.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini berkata telah memulakan beberapa langkah lanjutan terhadap siasatan syarikat GISBH di 19 buah negara luar.
Untuk rekod, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan Nasiruddin yang merupakan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Selain itu, 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.
Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis. – MalaysiaGazette