GEORGE TOWN – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Jelutong di sini, pada 26 Oktober lalu untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan perubatan mangsa bagi melengkapkan siasatan.
“Nenek kanak-kanak itu berusia 63 tahun yang berada di tempat kejadian pada hari insiden telah ditahan namun dilepas dengan jaminan polis setelah keterangan diambil.
“Manakala kanak-kanak tersebut juga dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di wad biasa sebuah hospital swasta di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Swee Sake, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki parah selepas terjatuh dari tingkat 12 sebelum tersangkut di tingkat tujuh sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, kejadian jam 9.20 pagi itu disedari nenek mangsa selepas menemui mangsa berusia empat tahun itu di bumbung konkrit tingkat tujuh bangunan tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa terjatuh dari tingkap bilik tidur utama dan semakan mendapati katil dalam bilik itu terletak berhampiran tingkap tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette