KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin mendakwa permohonan satu projek naik taraf di daerah itu hanya akan diluluskan sekiranya ditandatangani oleh Ketua Bahagian UMNO.
Sebaliknya, kata beliau, permohonan yang dikemukakan oleh mana-mana Ahli Parlimen tidak mendapat perhatian.
Malah katanya, perkara berkenaan berlanjutan sejak tahun 2022 sehingga kini.
“Di Ranau dapati projek diluluskan hanya pada orang UMNO. Tahun 2022, 2023 hingga 2024 orang yang sama (mohon dan diluluskan). Daripada Pejabat Parlimen tidak diberikan pertimbangan dan pegawai saya sendiri hadir ke pejabat Kemajuan Pembangunan Luar Bandar, hanya yang ditandatangani Ketua Bahagian UMNO akan diluluskan.
“Jadi bagaimana kita harus mentadbir daerah kita jika masih ada pilih kasih, pilih bulu, masih lihat siapa rakannya dan bukan pertimbangan kepada apa yang diminta oleh wakil rakyat yang mempunyai sokongan dan majoriti berpuluh ribu oleh rakyat tetapi tidak diberi perhatian,” katanya.
Beliau mengajukan soalan kepada Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sementara itu, Rubiah berkata, tiada amalan ‘pilih bulu’ dalam memberikan kelulusan sesuatu projek naik taraf di kawasan desa.
Jelasnya, kelulusan diberikan berdasarkan keperluan selepas siasatan dijalankan oleh jawatankuasa penilaian projek.
“Kita tidak pernah mengambil kira parti politik dan sebagainya. Apa yang kita ambil kira adalah permohonan (yang) dikemukakan kepada kita berdasarkan tarikh dan masa. Dimana permohonan diajukan kepada pejabat daerah dan juga melalui (Yang Berhormat) terus kepada kementerian. Setiap permohonan.
“Kalau tahun depan dah dapat dari tahun ini. Kita telah selaraskan selari yang boleh dipertimbangkan berdasarkan siasatan. Permohonan ini akan dipilih oleh jawatankauasa penilaian projek. Kita tidak pernah ambil kira permohonan berdasarkan parti tetapi berdasarkan peringkat negeri,”ujarnya.
Terdahulu Jonathan meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan status permohonan projek naik taraf jalan Kg Giring Ranau, jalan perumahan Kampung Pinawantai dan selenggara jalan Kg Mengkapoh.
Menurut beliau, permohonan berkenaan telah dikemukakan kepada kementerian itu pada 27 Mac 2024 namun sehingga tiada respon diberikan.
Bagaimanapun Rubiah berkata, permohonan-permohonan yang dikemukakan akan melalui proses semakan dan siasatan mengikut skop garis panduan Jalan Perhubungan Desa (JPD) yang berkuatkuasa.
“Permohonan tersebut akan dipertimbangkan mengikut keutamaan tertakluk kepada ketersediaan peruntukan Projek JPD Negeri Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette