Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) akan menghentikan penjualan rokok di semua premis mereka menjelang tahun depan.

Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat agung tahunan persatuan bagi menyahut seruan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan merokok di premis makanan.

“Kami percaya ini adalah langkah yang betul untuk menyokong cadangan kementerian.

“Kami ingin bekerjasama dengan kementerian untuk menghentikan penjualan rokok di semua restoran ahli kami,” katanya.

Menurut beliau, kira-kira 50 peratus pengusaha restoran di bawah PRESMA telah menghentikan penjualan rokok di restoran mereka.

“Persatuan melihat perkara ini sebagai langkah ke arah kesihatan dan kebersihan yang lebih baik,” tambahnya lagi.

Jawahar Ali Taib, Presiden PRESMA

Selain rokok, ahli-ahli PRESMA turut membincangkan isu berkaitan kebersihan serta menekankan kepentingan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

“PRESMA memberi panduan kepada ahlinya tentang cara memohon Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kami menggalakkan pemilik restoran untuk mendapatkan pensijilan Bersih, Selamat, dan Sihat (BeSS) daripada Kementerian Kesihatan bagi memastikan ahli mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa perbincangan juga diadakan mengenai isu peningkatan gaji dan caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan semula peningkatan gaji minimum terutama dalam industri makanan dan minuman.

Ini kerana kebanyakan pengusaha restoran menyediakan makanan dan tempat tinggal yang mencukupi kepada pekerja. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here