Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menjelaskan kerajaan masih belum memuktamadkan kategori golongan yang terkecuali daripada mendapatkan subsidi daripada kerajaan termasuk subsidi petrol.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penentuan pendapatan isi rumah layak untuk menerima harga subsidi RON95 tidak akan ditentukan semata-mata tahap pendapatan isi rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Kerajaan masih meneliti pendekatan yang digunakan bagi menentukan kumpulan T15 bagi penyasaran subsidi RON95  dan tidak akan terikat secara terus dengan definisi HIS.

“Kerajaan akan meneliti perkara ini sebelum dimuktamadkan mengambil kira kriteria tambahan selain daripada pendapatan, keraajan komited untuk terus membela nasib pengguna termasuk golongan pertengahan dalam menghadapi cabaran sara hidup,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, perkara itu masih belum diputuskan walaupun ada yang mentafsirkan mereka yang tergolong sebagai kumpulan T15 adalah mereka yang mempunyai pendapatan lebih RM12,000 sebulan.

Menurut beliau, kategori kumpulan terbabit mungkin boleh diturunkan lagi kepada T10 atau T5.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, dalam memastikan kebimbangan rakyat dapat diredakan dengan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan tahun depan – kerajaan akan memastikan kaedah pelaksanaannya dibuat secara menyeluruh – seperti pelaksaaan penyasaran subsidi diesel sebelum ini.

“Ini termasuklah memastikan bahawa kumpulan rakyat yang layak akan mendapat insentif atau bantuan sewajarnya disamping menggunapakai mekanisma yang mudah dan holistik.

“Selain mengekang aktiviti pencatutan atau kenaikan harga mendadak di kalangan pengusaha tidak bertanggungjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast