Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa hanya selepas 10 tahun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru membangkitkan berkenaan mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Abdul Hadi mahu ahli Pas dan orang ramai lebih taksub terhadap beliau dengan membangkitkan kisah mimpi bertemu Rasulullah SAW itu.

“Betullah kata Ketua Penerangan Pas, Fadhli Shaari, kenapa kalut Haji Hadi bermimpi jumpa Rasulullah SAW? Soalnya kenapa selepas 10 tahun baru mahu cerita mimpi jumpa Rasulullah SAW suruh damaikan Sunni dan Syiah?

“Apa motif? Apakah Hadi mahu ahli Pas dan orang ramai lebih “taksub” kepada dirinya? Sekadar bertanya, bukan kalut,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Mohd. Puad turut mempersoalkan usaha yang telah dilakukan oleh Abdul Hadi untuk mendamaikan Sunni dan Syiah seperti yang diminta Rasulullah SAW menerusi mimpi tersebut.

“Bukan mudah damaikan Sunni dan Syiah sedunia. Sudah mula ke belum? 10 tahun telah berlalu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengandaikan berkemungkinan mimpi bertemu Rasulullah SAW itu adalah peringatan kepada Abdul Hadi untuk terlebih dahulu mendamaikan Pas dan UMNO.

“Jangan main politik. Sertai  kerajaan perpaduan. Wallah’ualam,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video ucapan Abdul Hadi yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW datang ke Rusila di Marang, Terengganu dan meminta beliau mendamaikan perbalahan di antara golongan Sunni dan Syiah.

Bagaimanapun, kisah mimpi bertemu Rasulullah SAW itu mendapat reaksi yang pelbagai antaranya Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan Pas memilih untuk percaya terhadap cerita mimpi itu.

“Adapun kami sebagai ‘anak-anak beliau’ di dalam Pas, kami memilih untuk percaya, apa yang anda nak kalut?

“Dan kami faham, ia diceritakan sebagai satu perkongsian ‘keluarga’ antara seorang ‘bapa’ dalam perjuangan untuk ‘anak-anaknya’ dalam satu program Ijtima Tarbawi, bukan diangkat untuk tujuan memuja diri sendiri,” kata Ahmad Fadhli dalam kenyataan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast