Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun 2024 di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan masih menunggu hasil siasatan lengkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan kes buli dan dera yang melibatkan pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang tindakan susulan kelak termasuk kemungkinan menggantung pegawai kadet terlibat akan dibuat berdasarkan hasil siasatan polis tersebut.

Dalam masa sama, tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan pelanggaran disiplin membabitkan anggotanya.

“Kita belum dapat laporan, tapi yang penting kita akan transparens (telus) dan kita memang tidak akan kompromi hal-hal melibatkan disiplin…(digantung atau tidak)…tunggu hasil siasatan,” katanya.

Mohamed Khaled ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2024 di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kejadian tersebut tidak menjurus kepada buli kerana tidak membabitkan kumpulan yang ramai atau berlaku ketika minggu orientasi.

Sebaliknya, ujar beliau, kejadian itu melibatkan dua individu iaitu penuntut Tahun Dua dan Tahun Empat yang mungkin disebabkan perkara peribadi.

“Ia insiden tersendiri, bukannya ramai-ramai…maknanya mungkin mereka bergaduh kerana masalah teman wanita, kita tak tahu…,” katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan seramai 16 individu termasuk mangsa dan suspek telah dirakam keterangan berkaitan kes mencederakan seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM, Sungai Besi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis juga masih menunggu laporan perubatan berkaitan kes berkenaan.

Terdahulu, polis mengesahkan mangsa ditekap seterika pada bahagian dada ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan, 22 Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa kira-kira jam 8.23 malam Jumaat.  – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast