Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong

KUALA LUMPUR – Komponen Perikatan Nasional (PN), Pas digesa segera menyatakan pendirian pihaknya susulan tindakan beberapa ahli Parlimennya mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan palsu.

Koo Poay Tiong (PH- Kota Melaka) berkata, penjelasan tersebut penting agar selari dengan perjuangan parti yang dipimpin Tan Sri Abdul Hadi Awang itu.

“Kita lihat sekarang ini ramai antara ahli Parlimen Pas yang keluarkan kenyataan rekaan dan pembohongan. Sebelum ini Ahli Parlimen Kepala Batas (Dr Mastura Muhammad) mengatakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng ada hubungan dengan Chin Peng.

“Terbaharu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim buat rekaan bahawa SPRM ada menjumpai sejumlah wang tunai di rumah bekas menteri DAP.

“Jadi, saya hendak tanya, adakah ini yang dibenarkan oleh Pas (keluar kenyataan fitnah). Saya hendak tanya perjuangan parti politik berasaskan agama Islam (Pas) ini, adakah itu yang diajar? Saya hendak Pas jawab,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Hadir sama Lim Guan Eng (PH-Bagan), V Sivakumar (PH-Batu Gajah) dan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Awang pada persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu mendakwa ada penemuan wang tunai berjumlah RM94 juta yang dikaitkan dengan seorang bekas Menteri Sumber Manusia daripada DAP.

Beliau mempersoalkan siasatan kes berkenaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sudah lebih setahun ia dibangkitkan.

Susulan itu juga, SPRM semalam juga tampil menjelaskan dakwaan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki pernah mengeluarkan kenyataan bahawa RM94 juta ditemui di kediaman bekas menteri adalah tidak tepat.

SPRM memaklumkan, Azam mahupun SPRM tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut seperti dinyatakan Awang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. itu persoalan di parlimen patut jawablah di parlimen. tak sempat secara lisan, jawab secara bertulis. itu pun kena ajar.. tipikal nak bina naratif, bukan membina negara..

Comments are closed.