Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 kilometer (km) melibatkan kos lebih RM7 billion kini dalam proses awal pembinaan.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, projek SSLR Fasa 2 merupakan projek yang besar dijalankan di Borneo selepas pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 adalah projek besar dan projek ini baru masuk tapak. Proses pelaksanaan projek ini akan mengambil masa untuk disiapkan dan Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan pada bulan Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini selepas merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia Ke-12 dan Kongres Serantau Federasi Antarabangsa Asia-Pasifik ke-5 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, Pan Borneo sudah disiapkan namun masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dijangka akan disiapkan pada tahun ini dengan jajaran sepanjang 789 km dari Telok Melano ke Miri yang telah dibuka secara berperingkat dan status kemajuan kini melebihi 99 peratus.

“Hanya terdapat satu pakej sahaja yang perlu direka bentuk semula iaitu Seksyen Lambir di Miri yang dijangka siap pada tahun 2026.

“Sementara itu, bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, ia merangkumi 35 pakej kerja,” katanya.

Secara keseluruhan prestasi penyiapan bagi Fasa 1A adalah 76 peratus bagi 15 pakej kerja yang sedang dilaksanakan di mana empat pakej kerja iaitu Jalan Papar Donggongon, Jalan Tawau-Semporna, Jalan Bypass Lahad Datu dan Jalan Kampung Lot M – Batu 32 Sandakan telah disiapkan setakat 31 Disember tahun lalu.

Menurut Alexander, baki 20 pakej kerja lain dalam peringkat perolehan dan dijangka mula dibina pada suku ketiga tahun 2024 dengan tempoh lima tahun pembinaan.

Tambahnya, fasa-fasa berikutnya seperti Fasa 2 ialah dari Tamparuli-Ranau (96km) dan Fasa 3 iaitu Jalan Tawau-Kalabakan-Keningau-Kimanis (432km) pula masih peringkat perancangan.

“Projek infra rakyat ini besar manfaatnya dan manfaatnya adalah daripada segi ekonomi yang akan memberi kesan kepada penduduk setempat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast