Rakan dan saudara arwah Adam memberi penghormatan akhir selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – “Saya bergelut untuk mengapungkan diri dalam keadaan badan sudah lemah, tiada tenaga dan kedua-dua kaki sudah kejang dalam usaha untuk terus hidup.

“Pada masa itu air laut sudah masuk dalam tekak dan terminum air masin, mata sudah mula pitam. Saya hanya ingat Allah dan setiap nafas disebut kalimah Allah.

“Tiba-tiba datang ribut membawa gelombang besar dan menenggelamkan saya,” ujar Muhammad Firhan Karim, 23, seorang daripada tiga mangsa yang terselamat dalam kejadian di Sungai Johor kelmarin.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, Firhan dari Desa Mewah, bersama-sama Adam Benjamin Rosman, 15, (Desa Pinggitan) dan Irfan Mohamad Faizal, 21, (Desa Makmur) pergi memancing dengan menaiki bot di Sungai Johor, Teluk Sengat, Kota Tinggi.

Ketiga-tiga mangsa menghentikan aktiviti memancing dan berteduh di struktur tiang pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran disebabkan hujan lebat dan angin kencang.

Kemudian tali bot fiber yang diikat pada struktur tiang pencawang TNB terputus dan hanyut sebelum Adam terjun untuk menyelamatkan bot daripada terus hanyut diikuti Firhan dan Irfan.

Ketiga-tiganya dibawa arus deras dan berpisah antara satu sama lain sebelum Firhan berjaya menyelamatkan diri manakala Irfan diselamatkan pekerja warga asing berhampiran rumah rakit.

Mayat Adam kemudian ditemukan dalam keadaan terapung pada pukul 3.30 petang semalam.

Bercerita lanjut, Firhan berkata, semasa mengapungkan diri dalam laut dia ada mendengar jeritan Adam memanggilnya meminta tolong.

“Saya terdengar jeritan Adam beberapa kali meminta tolong dalam keadaan tangannya terkapai-kapai. Kemudian saya mendengar dia menjerit Allah huakbar tiga kali sebelum tenggelam,” katanya.

Firhan yang masih bujang berkata, selepas kejadian itu dan ditenggelamkan ombak besar dia mengumpul kekuatan untuk timbul semula di permukaan dan kembali mengapungkan diri.

“Pada masa genting itu saya hanya ada dua pilihan, pertama reda dengan apa yang berlaku dan kedua perlu usaha teruskan hidup dan lawan perasaan negatif masa itu,” ujarnya.

Katanya, selepas berterusan menyebut kalimah Allah selama kira-kira 10 minit berlaku satu keajaiban apabila bot yang hanyut sebelum ini tiba-tiba menghampirinya selepas ditiup angin kencang.

Dia mengumpul semula kekuatan dan berjaya masuk dalam bot yang masih tidak terbalik sebelum segera menghantar mesej kepada abangnya, Muhamad Faizal, 29, untuk meminta bantuan.

Ujarnya, bot yang hanyut itu tidak terbalik dan semua barang serta peralatan termasuk telefon bimbit mereka masih berada dalam bot.

Sementara itu, Muhamad Faizal berkata, dia yang kebetulan berada di Jeti Sungai Penderam bergegas dengan seorang rakan sekampung ke lokasi kejadian selepas menerima whatsapp pukul 2.55 petang.

“Saya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke lokasi dan apabila tiba mendapati Firhan sudah terlentang dalam bot. Saya dimaklumkan sudah dibawa arus.

“Usaha mencari dilakukan bersama-sama pasukan keselamatan sebelum Irfan yang terpisah dengan adik saya dan Irfan diselamatkan empat pekerja warga asing di sebuah rumah rakit.

“Irfan berpaut pada tong gas kecil selama kira-kira 40 minit juga. Selepas itu kami mencari Adam di kawasan perairan Pelabuhan Johor sehingga ke sempadan Singapura tetapi tidak berhasil,” katanya.

 

Dia mendakwa kejadian itu merupakan kali kedua berlaku terhadap adiknya dan Adam termasuk dirinya dalam kejadian bot dinaiki terbalik di Sungai Tiga di sini dan mereka hanyut tetapi semuanya berjaya diselamatkan.

Dalam pada itu, ibu Adam iaitu Nur Hidayah Abdul Samad, 40, bersyukur kerana upacara pengkebumian berjalan lancar termasuk dihadiri rakan dan guru sekolah anaknya.

Suri rumah itu berkata, sebelum Adam yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik sudah meminta izin untuk pergi memancing bersama-sama rakannya.

Dia menolak dakwaan netizen bahawa anaknya yang merupakan pelajar kelas 3M Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai ponteng sekolah untuk pergi memancing.

Jenazah Adam Benjamin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai di sini pada pukul 12.50 tengah hari tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast